Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mempergiat operasi pemantauan bazar Ramadan bagi memastikan tahap kebersihan, keselamatan makanan dan pengurusan sisa dipatuhi semua peniaga.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata pemeriksaan harian dilakukan secara menyeluruh oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Jabatan Kesihatan serta Jabatan Penguatkuasaan DBKK termasuk di bazar kendalian persatuan dalam pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu.
“Selain tahap kebersihan, kita melihat dan memeriksa sama ada mereka yang terlibat dalam penyediaan makanan ini telah mendapat suntikan yang diperlukan untuk peniaga makanan.
“DBKK turut memeriksa makanan yang mereka jual ditutup dan makanan tidak basi.
“Kita juga memantau peniaga yang membuat live cooking bagi memastikan minyak masak yang digunakan tidak dibuang sewenang-wenangnya ke dalam longkang berhampiran.
“Ini antara tindakan yang diambil DBKK bagi memastikan makanan yang dijual mengikut tahap kesihatan yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman dan Isteri Toh Puan Faridah Tussin pada Isnin.
Majlis tersebut dihadiri 700 warga DBKK dan DBKK Holding serta 300 jemputan daripada Kerajaan Negeri, persekutuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Dalam majlis tersebut seramai 10 anak yatim, 10 golongan asnaf dan lima masjid dari sekitar Kota Kinabalu menerima sumbangan wang tunai, baju dan keperluan masjid daripada DBKK.
Sementara itu Sabin berharap sumbangan tersebut dapat meringankan beban penerima dan membantu mereka membuat persiapan lebih baik menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai yang juga Menteri Bertanggungjawab Kepada DBKK.