SANDAKAN: Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin menyatakan keyakinan bahawa parti-parti tempatan Sabah akan terus mengukuhkan kedudukan menjelang pilihan raya akan datang walaupun terdapat petunjuk bahawa sebahagian besar pengundi Cina di negeri ini cenderung menyokong Parti Warisan Sabah (Warisan).
Beliau berkata pada Pilihan Raya Negeri lalu LDP telah meramalkan Warisan tidak akan dapat membentuk kerajaan negeri walaupun ramai dalam kalangan masyarakat Cina ketika itu berharap sebaliknya.
“Dari sudut lain walaupun ramai pengundi Cina kini menyokong Warisan dan kami berada di pihak pembangkang, kita dapat melihat rakyat Sabah semakin bersatu.
“Mereka mahukan parti tempatan terbaik untuk mewakili mereka,” katanya.
Chin berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Tahun Baharu Cina LDP 2026 di Dewan SJKC Chi Hwa pada Ahad.
Mengulas mengenai Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang Chin mencadangkan agar parti dari Semenanjung tidak bertanding kerusi di Sabah.
Bagaimanapun beliau mengakui bahawa dalam sebuah negara demokrasi, penyertaan tersebut tidak boleh dihalang.
“Walaupun mereka bertanding namun saya menjangkakan parti tempatan akan menang dalam pilihan raya Parlimen akan datang,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa usaha memperkukuh perwakilan tempatan bukan bermaksud menentang Kerajaan Persekutuan.
“Kami tidak menentang Kerajaan Persekutuan dan bukan mahu menentangnya. Rakyat Sabah hanya mahukan apa yang dimiliki Sarawak iaitu autonomi yang lebih besar,” tambahnya.
Chin berkata LDP kekal tersusun dan mempunyai jentera yang lengkap dengan cawangan parti serta biro aduan yang beroperasi di kawasan seperti Luyang, Likas, Sandakan dan Tawau bagi membantu orang ramai.
“Saya telah menegaskan supaya biro aduan kami bergerak di seluruh Sabah untuk mengenal pasti dan menyelesaikan masalah rakyat. Dengan sumber ini saya percaya kami boleh merampas semula kerusi yang dimenangi pembangkang dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Bagi PRU beliau mengenal pasti kerusi Parlimen Sandakan dan Kota Kinabalu sebagai sasaran utama khususnya kawasan yang pernah ditandingi parti itu sebelum ini.
Mengenai kewujudan beberapa parti yang dilihat mewakili kepentingan masyarakat Cina, Chin menekankan kepentingan kerjasama walaupun mempunyai strategi berbeza.
“Kita mesti bekerjasama. Jika ada parti yang masih memilih untuk bekerjasama dengan parti dari Semenanjung untuk bertanding itu pilihan mereka.
“Kita boleh anggap ia sebagai pertandingan persahabatan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa mana-mana gabungan yang membentuk Kerajaan Persekutuan akan mendapat sokongan LDP namun mengekalkan aspirasi utama parti untuk memastikan Sabah memperoleh autonomi dan hak yang lebih bermakna dalam Persekutuan.
“Kami akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, tetapi kami mahu Sabah mempunyai autonomi yang lebih kukuh dan bermakna,” katanya.