PENAMPANG: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) kesal selepas dikenakan kompaun parkir selain mendakwa dua kenderaan tanpa pelekat OKU diabaikan pihak berkuasa apabila menggunakan petak parkir khas di Penampang, baru-baru ini.
Francis Xavier Kinjin, 42, menerusi video yang dimuatnaik di laman Facebooknya, berkata dia terpaksa meletakkan kenderaan di petak parkir biasa berbayar selepas gagal mendapatkan petak parkir khas OKU yang didakwanya digunakan oleh individu bukan OKU.
“Saya mencari tempat letak kereta hampir 20 minit tetapi tidak menemui parkir yang kosong.
“Satu-satunya petak parkir OKU yang berhampiran dengan destinasi saya digunakan oleh individu bukan OKU,” kata Francis.
Video yang dimuat naik menggunakan nama samarannya ‘Oliver PUTUT’ itu meraih perhatian meluas sejak tiga hari lalu apabila menerima 8,000 tanda suka, lebih 1,000 komen serta pelbagai perkongsian.
Francis yang tidak mempunyai kedua-dua belah kaki dan bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda berkata, kemudahan parkir khas amat penting baginya bagi memastikannya keluar dari kenderaan dengan selamat sebelum meneruskan apa jua aktiviti atau urusan.
Dia mempersoalkan tindakan penguatkuasa yang tidak mengambil sebarang tindakan terhadap dua kenderaan yang diparkir di petak khas OKU tanpa pelekat sah.
“Apabila saya hendak membayar kompaun dan bertanya kepada petugas, saya dimaklumkan bahawa pemilik kenderaan itu hanya berada di situ untuk tempoh singkat.
“Sedangkan saya sendiri hampir 20 minit mencari tempat parkir namun apabila meletakkan kenderaan di petak lain tidak sampai kira-kira 15 minit, saya terus dikenakan kompaun walaupun kenderaan saya jelas mempamerkan pelekat OKU,” tambah Francis.
Kejadian itu, katanya, bukanlah kali pertama kerana dia pernah berdepan situasi sama sebelum ini termasuk dikenakan saman walaupun mempamerkan pelekat OKU sah. Saman terbabit dibatalkan selepas pegawai terlibat memahami keadaan dan mengakui berlaku kesilapan.
“Ini bukan soal membayar kompaun tetapi soal hak kami sebagai golongan OKU. Kami sudah berdepan pelbagai cabaran dalam kehidupan seharian namun masih ada pihak yang mengambil kesempatan terhadap kemudahan yang disediakan untuk kami,” katanya.
Francis menambah sebelum mengakhiri perbualan dengan petugas, petugas berkenaan turut memintanya mengambil gambar dan video untuk dimuat naik ke laman sosial.
Dia menggesa masyarakat agar lebih peka dan bertanggungjawab tidak menyalahgunakan petak parkir khas OKU dan meminta pihak berkuasa melaksanakan penguatkuasaan secara adil, tegas dan berperikemanusiaan.