Sat, 4 Apr 2026
Headlines:
Pihak Berkuasa Tempatan digesa pastikan kebersihan di Bazar Ramadan sentiasa terjamin
Published on: Monday, February 16, 2026
Published on: Mon, Feb 16, 2026
By: Iskandar Dzulkifli
Text Size:
Text:
Pihak Berkuasa Tempatan digesa pastikan kebersihan di Bazar Ramadan sentiasa terjamin
ARIFFIN (enam dari kanan) bersama tetamu kehormat dan Ketua masyarakat Cina selepas merasmikan majlis itu.
MEMBAKUT: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu memastikan aspek kebersihan di setiap Bazar Ramadan sentiasa terjamin.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Datuk Dr. Ariffin Arif berkata semua PBT juga akan diminta untuk mengambil langkah proaktif memberi pendedahan kepada peniaga mengenai aspek itu.

Advertisement
Menurutnya, selain kepentingan menjaga kebersihan demi memastikan keselamatan makanan terjamin, peniaga Bazar juga perlu mematuhi peraturan PBT masing-masing.

“Sebaik saja saya diamanahkan sebagai Menteri KKTP, saya meminta agar semua PBT memberi tumpuan kepada dua perkara iaitu kebersihan dan keindahan pekan masing-masing.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
“Selain meningkatkan mutu juadah, peniaga juga perlu pastikan tahap kebersihan sentiasa berada pada kadar terbaik demi keselamatan pengguna,” katanya selepas program Tinjauan Mesra Sempena Tahun Baharu Cina dan Pelancaran Pesta Tanglung Peringkat Dun Membakut, di sini, Sabtu.

Dalam pada itu, Ariffin yang juga Adun Membakut memaklumkan kira-kira 200 peniaga Baazar Ramadan di bawah kelolaan PBT Daerah Membakut akan menerima bantuan awal perniagaan.

Advertisement
Beliau berkata bantuan di bawah peruntukan Adun Membakut yang dilaksanakan setiap tahun sejak empat tahun lalu itu bertujuan meringankan beban peniaga-peniaga kecil di kawasan ini sempena Ramadan.

“Selain peniaga Bazar Ramadan di Dewan Terbuka Pekan Membakut, peniaga kecil yang beroperasi di kampung, di hadapan rumah dan di tepi jalan juga akan menerima bantuan ini.

Advertisement
“Saya sendiri akan bertemu dengan peniaga sebelum mereka mulakan perniagaan manakala PBT akan guna kesempatan ini beri taklimat serta kempen kesedaran berhubung keperluan menjaga kebersihan dan mematuhi peraturan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai keperluan ruang solat di setiap bazar Ramadan bagi memudahkan peniaga dan pelanggan menunaikan solat selepas terbuka puasa, Ariffin berkata pihaknya akan meminta setiap PBT menilai perkara itu.

Ini kerana katanya, sebahagian besar lokasi Bazar Ramadan di seluruh Sabah berdekatan dengan masjid dan surau, namun terpulang kepada PBT untuk mempertimbangkannya khususnya di kawasan yang jauh daripada kemudahan itu.

Bagaimanapun katanya, pihaknya sudah memaklumkan kepada Setiausaha Tetap (SuT) KKTP mengenai perkara itu serta berbincang dengan Jheains dan Muis, termasuk Mufti tentang keperluan berkenaan.

Ketika ditanya mengenai aktiviti Kerajaan Negeri dalam menyemarakkan Ramadan tahun ini, Ariffin berkata pihaknya akan mengadakan Istiqbal Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Sabah.

Katanya, sempena program yang diadakan pada 17 Ramadan itu, pihaknya akan mengundang Imam Besar Masjid Imam Hussin dari Mesir untuk menjalankan program selama 10 hari di Sabah.

“Sebagai seorang Qari terkenal, beliau akan membuat jelajah ke beberapa daerah dan sekolah untuk memperdengarkan bacaan Al-Quran, tazkirah termasuk program bimbingan Al-Quran kepada anak-anak kita.

“Program bersama Imam Besar Masjid Imam Hussin ini akan turut diadakan di Masjid Negeri Sabah dan Dewan Saadah Muis yang akan kita umumkan dalam masa terdekat, Insya Allah,” katanya.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here