Kota Kinabalu: Presiden Borneo’s Plight in Malaysia Foundation, Daniel John Jambun berkata tindakan undang-undang Sarawak berhubung hak petroleum bukan sekadar melibatkan hasil minyak, sebaliknya satu perjuangan yang berpotensi mentakrifkan semula tahap kawalan Putrajaya terhadap Malaysia Timur.
“Sabah dan Sarawak sedang memperjuangkan perkara yang sama, sama ada Sabah berada di mahkamah atau tidak.
“Litigasi ini bukan sekadar berkaitan tadbir urus petroleum. Ia membangkitkan persoalan asas mengenai struktur Persekutuan Malaysia, keluhuran Perlembagaan serta kekuatan perundangan berterusan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam satu kenyataan, Selasa.
Beliau berkata rujukan Sarawak di hadapan mahkamah tertinggi bertujuan mendapatkan penjelasan mengenai pelaksanaan Akta Pembangunan Petroleum 1974, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 dalam negeri itu.
“Sabah dan Sarawak tidak menyertai Malaysia sebagai negeri biasa tetapi sebagai rakan pengasas di bawah MA63, satu perjanjian antarabangsa yang menetapkan sempadan wilayah serta hak pemilikan sumber asli sebelum Hari Malaysia.
“Sebarang undang-undang Persekutuan selepas 1963 yang menghapuskan atau menyerap hak tersebut tanpa pematuhan Perlembagaan dan persetujuan negeri mesti tertakluk kepada penelitian kehakiman,” katanya.
Daniel turut membangkitkan doktrin Struktur Asas, satu prinsip yang diiktiraf dalam perundangan perlembagaan Malaysia, dengan menegaskan bahawa sesuatu undang-undang tidak memperoleh legitimasi perlembagaan hanya kerana tempoh kewujudannya yang lama.
“Masa tidak boleh mengubati pelanggaran perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata, walaupun Sarawak merupakan pemohon tunggal, prinsip perlembagaan yang dipertaruhkan turut terpakai kepada Sabah memandangkan sumber petroleum luar pesisir, autonomi fiskal dan integriti wilayah negeri itu berasaskan kerangka sejarah serta perundangan yang sama.
“Hak perlembagaan satu negeri di Borneo tidak boleh dipisahkan daripada negeri yang lain.
“Ini adalah perjuangan bersama demi keseimbangan Persekutuan, kesetiaan kepada Perlembagaan dan maruah Malaysia Timur,” katanya.
Mengenai permohonan selari Petronas bagi mendapatkan kepastian kawal selia terhadap operasinya di Sarawak, Daniel mengakui pentingnya iklim pelaburan yang stabil namun menegaskan ia tidak boleh mengorbankan ketepatan perlembagaan.
“Kejelasan sebenar hanya boleh dicapai melalui penentuan berprinsip mengenai skop kuasa Parlimen berkaitan petroleum, interaksi antara undang-undang Persekutuan dan hak wilayah negeri serta kekuatan perlembagaan berterusan perlindungan MA63,” katanya, menambah keputusan berprinsip akan mengukuhkan Malaysia.
Sementara itu, aktivis Sarawak Peter John Jaban berkata tindakan membawa perkara itu ke mahkamah merupakan langkah paling matang dari sudut perlembagaan yang diambil Sarawak dalam beberapa dekad.
Beliau menyifatkan langkah itu sebagai tanda peningkatan kesedaran perlembagaan dalam kalangan rakyat Sarawak.
“Petisyen undang-undang ini tidak harus dilihat sebagai cabaran terhadap Persekutuan, sebaliknya pelaksanaan tadbir urus perlembagaan secara bertanggungjawab.
“Rakyat Sarawak tidak lagi pasif, tidak lagi tidak maklum dan tidak lagi naif mengenai hak, tanah serta sumber asli mereka,” katanya.
Peter berkata sebarang tafsiran undang-undang berkaitan petroleum mesti selaras dengan MA63 dan Perlembagaan Persekutuan, serta autonomi yang dibayangkan ketika pembentukan Malaysia tidak boleh terhakis akibat kekaburan undang-undang.
Beliau berkata persoalan lama berkaitan Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan peranan Petronas dalam mengurus sumber minyak dan gas Sarawak berlarutan selama beberapa dekad.
“Merujuk perkara ini kepada mahkamah tertinggi, berbanding diselesaikan melalui wacana politik, mencerminkan keyakinan terhadap institusi kehakiman Malaysia,” katanya.
Beliau turut menggesa ketelusan lebih besar dalam pengurusan hasil sumber asli Sarawak serta supaya kekayaan minyak dan gas disalurkan kepada keselamatan makanan, infrastruktur, pendidikan, kesihatan, kesalinghubungan luar bandar dan pembangunan jangka panjang.
Peter menambah kepastian perundangan akan meningkatkan keyakinan ekonomi memandangkan pelabur dan pembuat dasar memerlukan sempadan bidang kuasa yang jelas sebelum membuat keputusan jangka panjang.
“Sumber asli Sarawak bukan soal politik … ia mengenai kebajikan anak-anak kita, komuniti luar bandar dan generasi masa depan.
“Perpaduan sebenar dalam Malaysia mesti dibina atas asas keadilan, saling menghormati dan integriti perlembagaan,” katanya.