RANAU: Sabah diperuntukkan sejumlah RM3.188 bilion bagi pelaksanaan 204 projek pertanian dan keselamatan makanan bermula Rancangan Malaysia Ke-10 (2011 hingga 2015) hingga Rancangan Malaysia Ke-13 (2026 hingga 2030).
Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata langkah itu menunjukkan komitmen kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam meningkatkan kualiti sektor pertanian serta keterjaminan makanan, khususnya di Sabah.
Menurutnya, Jabatan Pertanian Sabah, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah dan Jabatan Perikanan Sabah telah melaksanakan pelbagai inisiatif strategik secara bersepadu sepanjang tempoh Rancangan Malaysia.
Pelaksanaan inisiatif berkenaan, katanya, adalah berasaskan Dasar Pertanian Negeri Sabah Ketiga (DPNS 3) dan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (HTSMJ) dengan penekanan terhadap keterjaminan makanan dan pendapatan, produktiviti serta daya saing selain kelestarian.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah pembangunan tanaman makanan dengan pendekatan lebih berorientasikan industri dan rantaian nilai, memberi tumpuan
kepada tanaman premium bernilai tinggi seperti durian Musang King, avokado, nanas, nangka J33, kelapa, kopi, halia, keladi Cina, jagung manis dan sayur-sayuran.
“Selain itu, terdapat juga pembangunan tanaman padi melalui pelaksanaan Projek Khas Pemulihan Sawah Terbiar serta Projek Penyelidikan dan Inovasi Kesesuaian Varieti Padi bagi mengenal pasti varieti padi baharu berhasil tinggi untuk diperkenalkan kepada pesawah di Sabah.
“Di samping itu, inisiatif turut merangkumi pewujudan 15 Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) sebagai kawasan pengeluaran makanan kekal dan berterusan di bawah penyelarasan Kerajaan Persekutuan dan Negeri,” katanya.
Jonathan berkongsi maklumat itu berdasarkan Jawapan Notis Pertanyaan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima, Parlimen Ke-15 tahun 2026 yang berlangsung baru-baru ini.
Dalam persidangan tersebut, beliau meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan langkah kementerian dalam meningkatkan kualiti pertanian dan keselamatan makanan di Sabah sepanjang 10 tahun lalu serta perancangan bagi tempoh 10 tahun akan datang.
Sementara itu, kementerian turut melaksanakan pemerkasaan perikanan laut dalam apabila pada 2021 Sabah diberikan kuasa pelesenan perikanan laut dalam meliputi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, sekali gus membolehkan penerokaan lebih terancang di kawasan melebihi 30 batu nautika dari pesisir pantai.
Pengukuhan sektor akuakultur melalui pelbagai projek ternakan marin dan air tawar melibatkan ikan, udang, tiram, ketam, gamat dan lobster turut dilaksanakan, dengan penekanan terhadap aspek biosekuriti serta pensijilan MyGAP bagi memastikan kualiti dan keselamatan makanan.
Inisiatif lain termasuk pengurusan serta pemuliharaan sumber perikanan bagi memperkaya sumber perikanan di perairan awam, pemulihan populasi ternakan serta pengukuhan infrastruktur asas veterinar.
Beliau menambah pemodenan sektor ternakan melalui penggunaan teknologi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) bagi tujuan kebolehkesanan serta peluasan sistem reban tertutup (automasi), selain pemodenan Pusat Bioteknologi kepada makmal biogenetik berteknologi tinggi untuk menghasilkan baka tempatan unggul menerusi teknologi Marker-Assisted Selection (MAS) dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA), turut dibangunkan.