Kota Kinabalu: Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin berkata antara faktor utama kemalangan jalan raya di negeri ini ialah kecuaian pemandu sendiri.
“Kadangkala faktor jalan raya menyumbang kepada kemalangan, namun perkara paling ketara ialah sikap pemandu seperti memandu laju, tidak sabar dan kurang bertimbang rasa. Keselamatan jalan raya bergantung kepada kita. Jika kita tidak berhati-hati, risikonya bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga pengguna lain,” katanya.
Beliau menggesa orang ramai menyertai komuniti Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dengan memuat turun aplikasi berkenaan ke dalam peranti masing-masing.
Menurutnya, melalui aplikasi VSP, polis bukan sahaja dapat membuat rondaan di kawasan yang dilaporkan berlaku aktiviti jenayah, malah menyokong siasatan yang sedang dijalankan menerusi maklumat dikongsi orang awam.
“Kami menggesa komuniti menyertai VSP. Ia membolehkan polis meronda kawasan kejiranan, terutama apabila penduduk bercuti. Aplikasi ini juga menjadi platform untuk berkongsi maklumat berkaitan jenayah, kes dadah dan kesesakan lalu lintas,” katanya.
Di Sabah, sebanyak 20,828 kemalangan jalan raya direkodkan pada 2024 dengan 282 kematian. Pada 2025, jumlah kes meningkat kepada 21,428 dengan 315 kematian. Dari 1 Jan hingga 12 Feb tahun ini, polis merekodkan 2,585 kemalangan dengan 34 kematian.
Polis mengenal pasti enam daerah “titik panas” semasa musim perayaan iaitu Kota Kinabalu, Sandakan, Lahad Datu, Tawau, Ranau dan Keningau, susulan kepadatan kenderaan yang tinggi di kawasan berkenaan.
Semasa Ops Selamat Tahun Baharu Cina 2026 di Jalan Tuaran Bypass, yang dijalankan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azhar mengedarkan pemacu USB kepada penumpang bas komersial yang mengandungi video keselamatan jalan raya serta panduan pendaftaran VSP.