SEMPORNA: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun yang disyaki memukul isterinya di sebuah inap desa di Kampung Bangau-Bangau pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Supt Tan Hiap Wah berkata suspek ditahan pada Rabu dalam satu operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah selepas menerima maklumat.
Menurutnya berdasarkan laporan yang dibuat mangsa, pasangan suami isteri itu pada mulanya bertengkar berhubung seorang wanita yang bersama suspek ketika kejadian pada 9 Februari lalu.
Dalam pertengkaran tersebut mangsa berusia 42 tahun yang merupakan seorang suri rumah telah ditumbuk oleh suaminya sehingga mengalami kecederaan pada bahagian mulut dan muka.
“Permohonan reman terhadap suspek akan dikemukakan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
“Hasil semakan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.
Dalam pada itu Tan menegaskan bahawa pihak polis memandang serius kes melibatkan keganasan rumah tangga dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan keganasan terhadap pasangan atau ahli keluarga.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar menyelesaikan sebarang pertikaian secara berhemah dan tidak bertindak melanggar undang-undang.