LAHAD DATU: Polis menahan dua lelaki tempatan dalam dua operasi berasingan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan dadah.
Ketua Polis Daerah ACP Dzulbaharin Ismail berkata suspek pertama berusia 34 tahun ditahan di Kampung Puyut pada jam 10.30 pagi Selasa.
Beliau berkata suspek ditahan selepas polis menemukan tiga plastik lutsinar mengandungi bahan dipercayai syabu seberat 5.14 gram dalam miliknya.
“Suspek yang turut didapati positif dadah itu kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Pada hari sama, seorang lagi lelaki tempatan berusia 19 tahun ditahan di hadapan sebuah hotel di Jalan Panji pada jam 11.40 pagi.
Dzulbaharin berkata pemeriksaan terhadap suspek menemukan 10 botol cecair vape mengandungi bahan terlarang (mushroom) bernilai RM700.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.