TAWAU: Seorang lelaki berusia 49 tahun didenda RM5,000 atau tiga bulan penjara kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada motosikal yang ditunggangnya bagi mengelak dirampas selepas gagal membayar ansuran bulanan.
Mazaki Mahmood, 49, dijatuhi hukuman oleh Majistret Don Stiwin Malanjum selepas mengaku bersalah menunggang motosikal Modenas Kriss dengan mempamerkan nombor pendaftaran WNE7668 yang tidak didaftarkan kepada kenderaan tersebut.
Kesalahan itu dilakukan di bulatan Batu 4 di sepanjang Jalan Apas pada 30 Disember 2025 kira-kira jam 7.45 pagi.
Mengikut fakta kes anggota polis sedang menjalankan tugas rondaan di kawasan berkenaan apabila menahan Mazaki yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.
Pemeriksaan awal mendapati nombor pendaftaran WNE7668 yang dipamerkan di hadapan dan belakang motosikal sebenarnya didaftarkan kepada sebuah Nissan X-Trail 2.5 4WD.
Pemeriksaan nombor casis dan enjin menunjukkan nombor pendaftaran sebenar motosikal itu ialah ST8927M manakala siasatan mendapati lesen kenderaan dan insurans telah tamat tempoh sejak 18 November 2010.
Mazaki didapati mempamerkan nombor pendaftaran palsu menggunakan pelekat di bahagian hadapan dan plat nombor di bahagian belakang motosikal.
Siasatan lanjut mendedahkan motosikal itu didaftarkan atas nama isterinya Hartini Ali. Mazaki mengaku menukar nombor pendaftaran selepas gagal membayar ansuran bulanan dan untuk mengelak motosikal tersebut dirampas pihak berkuasa.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda antara RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara antara satu hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Trafik dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau ASP Joan Lee manakala Mazaki tidak diwakili peguam.