TELUPID: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (Maffi) menggesa semua kakitangan jabatan serta agensi di bawah kementeriannya supaya lebih aktif turun ke lapangan.
Menterinya Datuk Jamawi Jaffar berkata sekurang-kurangnya 60 peratus masa bekerja kakitangan di lapangan iaitu bagi memantau, mengenal pasti keperluan dan menyelesaikan masalah petani.
“Jabatan Pertanian, Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) serta Koperasi Pembangunan Desa (KPD) juga perlu menempatkan pegawai di kawasan penanaman padi bagi membolehkan interaksi secara langsung bersama petani.
“Langkah itu penting bagi memastikan setiap isu dapat ditangani dengan lebih pantas dan berkesan selain memperlihatkan komitmen kementerian dalam membela nasib petani di seluruh negeri.
“Dalam tempoh dua bulan saya akan kembali ke kawasan ini untuk menilai kemajuan fasiliti yang diberi keutamaan untuk dibaiki serta diselanggara,” katanya ketika bertemu petani di Trusan Sapi pada Isnin.
Dalam pada itu beliau menyarankan penggunaan racun serangga yang disyorkan Jabatan Pertanian, pemilihan benih padi yang sesuai serta pembinaan dan penyelenggaraan sistem perparitan yang lebih efisien bagi meningkatkan hasil pertanian.
Pada lawatan berkenaan Jamawi turut mendengar taklimat daripada Pengarah Desa Padi Plantation Sdn Bhd Datuk Yap Yun Fook.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Leonard Stephen Poyong, Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras (LPBS) Datuk Madiyem Layapan, Pengurus Besar KPD Jailis Masarip serta beberapa pegawai daripada Maffi, JPS, KPD dan LPBS.