TAWAU: Kerajaan Negeri secara rasminya sudah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) memulakan kajian kebolehlaksanaan yang komprehensif bagi menangani isu kesesakan lalu lintas yang kian kritikal di daerah ini, terutamanya di antara pusat bandar dan kawasan Jalan Apas.
Arahan yang dikeluarkan Ketua Menteri itu bertujuan untuk menilai keberkesanan usul-usul teknikal yang sudah dikenalpasti ke arah mewujudkan kelancaran aliran trafik jangka panjang di bandar ketiga terbesar di negeri ini.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan mendedahkan bahawa fokus kajian itu melibatkan tiga projek infrastruktur utama yang bakal mengubah landskap mobiliti-aliran trafik di Tawau secara drastik.
“Projek pertama yang menjadi tumpuan ialah pengenalan laluan Tawau Bypass, sebuah jalan pintas yang dirangka khusus untuk mengalihkan tekanan trafik dari kawasan pusat bandar dan perumahan padat di sepanjang Jalan Apas,” katanya semasa menyampaikan amanat berkaitan dasar Kerajaan Negeri dan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 sempena majlis pertemuan bersama penjawat awam di Hotel Royal Borneo di sini, pada Isnin.
Usul kedua, katanya, melibatkan pembinaan dua fasiliti jejambat di lokasi titik panas kritikal iaitu di Bulatan Keris Batu 4 Jalan Apas dan Takada yang selama ini menjadi punca utama berlakunya kesesakan teruk terutama pada waktu puncak.
“Langkah ketiga yang tidak kurang pentingnya adalah pembinaan lebuhraya pesisir pantai iaitu Tawau Coastal Highway yang bukan sahaja berfungsi sebagai laluan alternatif, malah menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di kawasan pesisir Tawau,” katanya.
Nizam berkata ketiga-tiga solusi terbabit kini berada dalam fasa pertimbangan serius untuk dikaji keberkesanannya dari sudut teknikal dan impak ekonomi kepada rakyat setempat.
Selain isu jalan raya, beliau turut mengingatkan berkenaan pelaburan besar kerajaan dalam menaik taraf Lapangan Terbang Tawau yang melibatkan peruntukan sebanyak RM130 juta yang dijadualkan siap sepenuhnya menjelang 2028.
“Apabila siap kelak, projek ini diyakini bakal meningkatkan kapasiti terminal daripada 1.5 juta kepada 2.5 juta penumpang setahun, termasuk penambahan jambatan udara dan penambahbaikan apron pesawat bagi menyokong status Tawau sebagai pintu masuk antarabangsa,” katanya.
Menurutnya pengukuhan lapangan terbang ini sangat kritikal bagi menyokong sektor pelancongan dan perdagangan, terutamanya dalam meningkatkan keupayaan logistik eksport makanan laut yang mempunyai permintaan tinggi dari luar negara.
Dalam konteks ekonomi yang lebih luas, Nizam berkata Tawau dipersiapkan untuk menjadi bandar kebudayaan melalui pembangunan Pusat Kebudayaan Antarabangsa Tawau (TICC) yang akan menjadi pusat utama penganjuran festival bertaraf dunia di masa hadapan.
“Malah, konsep Ekonomi Biru yang turut diangkat sebagai pemacu strategik SMJ 2.0 dilihat dapat memanfaatkan kedudukan Tawau sebagai bandar pesisir untuk membangunkan sektor perikanan pintar, marikultur moden dan bioteknologi marin yang lestari,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan semua pihak supaya tidak mengabaikan isu sosial seperti penyusunan semula setinggan secara berperikemanusiaan bagi mengurangkan risiko kebakaran tanpa menjejaskan kualiti hidup rakyat.
Tegasnya, keberkesanan pembangunan yang dirancang juga tidak boleh mengenepikan kepada langkah penyelesaian isu tiga serangkai meliputi air, elektrik, dan jalan raya, yang mesti dirasai kesannya secara langsung oleh setiap lapisan masyarakat di Tawau.
Sempena majlis itu, beliau turut menuntut komitmen bersama penjawat awam bagi memastikan objektif kerajaan negeri yang dirancang dapat dicapai.
“Saya berharap kerjasama dan integriti tinggi semua penjawat awam, memandangkan projek-projek besar yang dirancang hanya akan memberi kesan maksimum jika perkhidmatan asas di peringkat pelaksana bergerak lancar dan cekap.
“Jika akses jalan ke lapangan terbang bermasalah, malah bekalan air dan elektrik tidak stabil, maka keberkesanan pelaburan besar yang dibawa ke Tawau juga akan dipersoalkan oleh rakyat,” katanya.
Hadir sama, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Dr Md Andi Shamsureezal Mohd Sainal merangkap Adun Tanjung Batu, Adun Balung Syed Ahmad Syed Abas dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Joseph Pang.