TAWAU: Seorang lelaki berumur 29 tahun ditahan pada Sabtu ketika cuba menceroboh masuk sebuah rumah di Taman Rainbow Jalan Kuhara susulan tindakan pantas oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV) polis.
Suspek ditahan kira-kira jam 5.40 petang oleh pasukan terbabit ketika meronda kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata pasukan MPV melihat suspek dalam keadaan mencurigakan di sekitar kawasan rumah itu dan segera mendapatkan bantuan untuk melakukan penangkapan.
“Polis seterusnya melakukan pemeriksaan susulan di sekitar kawasan terbabit sebelum mendapati pintu belakang rumah itu sudah tidak mempunyai tombol, disyaki diumpil oleh suspek.
“Polis turut menemui sebatang alat pemotong paip di belakang rumah berkenaan yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk melakukan aktiviti jenayah.
“Suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh bangunan,” katanya kepada media pada Ahad.
Tambahnya, polis memandang serius sebarang cubaan pecah rumah dan tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku yang didapati cuba mengganggu ketenteraman termasuk mencuri harta benda awam.
Jasmin menggesa orang awam agar segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan sebarang pergerakan mencurigakan di kawasan perumahan masing-masing.
Beliau turut meminta jiran tetangga supaya sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan mengamalkan konsep kejiranan untuk memastikan kesejahteraan di kawasan penempatan mereka sentiasa aman.