SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee), menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mempercepatkan proses penilaian dan kelulusan peruntukan projek, khususnya bagi memastikan kerja naik taraf Hospital Duchess of Kent (HDOK) dapat dilaksanakan tanpa kelewatan.
Beliau berkata, langkah itu penting agar hospital yang sebelum ini diumumkan untuk dinaik taraf dapat menikmati penambahbaikan ketara dalam tempoh terdekat demi manfaat rakyat.
Menurutnya, walaupun pengumuman kerajaan mengenai peruntukan menaik taraf hospital kerajaan dan klinik kesihatan luar bandar di seluruh Sabah dialu-alukan, proses penilaian serta kelulusan projek oleh agensi kerajaan sering mengambil masa terlalu lama.
“Keadaan ini menyebabkan rakyat masih belum dapat merasai sebarang peningkatan atau penambahbaikan terhadap kemudahan kesihatan yang telah dijanjikan,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Khamis.
Vivian mengambil contoh projek naik taraf Hospital Duchess of Kent serta beberapa projek lain yang walaupun telah diumumkan atau diluluskan secara prinsip, masih perlu melalui pelbagai peringkat penilaian dan kelulusan sehingga mengambil masa bertahun-tahun sebelum dimuktamadkan.
Katanya, kelewatan itu menghalang pelaksanaan segera projek yang amat diperlukan bagi memenuhi keperluan rakyat di daerah berkenaan.
Beliau turut menegaskan bahawa Hospital Duchess of Kent sejak sekian lama berdepan kekurangan peralatan perubatan serta tenaga pakar, selain perkhidmatan kesihatan mental yang masih terhad dan tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Tambahnya, klinik kesihatan kerajaan di kawasan berpenduduk padat di Sabah juga masih berhadapan jumlah pesakit yang tinggi sehingga menyebabkan kesesakan serta tempoh menunggu yang panjang.
Sehubungan itu, Vivian berharap KKM dapat memberikan penjelasan secara terbuka mengenai hala tuju serta penggunaan peruntukan kerajaan Persekutuan yang disalurkan khusus bagi menaik taraf kemudahan kesihatan di kawasan Pantai Timur Sabah.