Kota Kinabalu: Media Sabah telah banyak memberikan sokongan kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), kata bekas Menterinya, Datuk Seri Christina Liew.
Beliau berkata menerusi laporan serta penulisan kreatif, wartawan, pemberita dan jurugambar menonjolkan dasar, program serta projek kementerian itu secara meluas untuk makluman orang ramai sepanjang tempoh beliau memegang jawatan dari 2018 hingga 2020, dan 2023 hingga 2025.
“Kami menikmati hubungan kerja yang baik dengan pengamal media di Sabah. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada media cetak dan elektronik serta portal berita dalam talian atas liputan cemerlang yang diberikan,” katanya semasa menerima kunjungan hormat delegasi KKJA yang diketuai Pengerusinya Jimmy Goh di Pejabat Guaman beliau pada Khamis.
Liew, yang juga merupakan Penasihat Kehormat Seumur Hidup KKJA, menggesa media massa agar terus melaksanakan tugas pelaporan dengan penuh keikhlasan, rasa tanggungjawab serta tahap integriti yang tinggi.
Beliau turut menyatakan bahawa dalam era teknologi digital masa kini, industri akhbar masih relevan dan akan terus kekal sekurang-kurangnya dalam konteks Sabah.
Katanya, selain pembaca yang celik IT, kebanyakan golongan lama lebih gemar membaca akhbar bercetak berbanding platform media sosial.
“Sejak dahulu lagi, akhbar telah digunakan sebagai alat komunikasi yang berkesan oleh sektor awam dan swasta dalam menyebarkan maklumat berguna atau penting kepada masyarakat umum,” tambahnya.
Sementara itu, Goh merakamkan penghargaan kepada Liew atas sumbangan beliau dalam menyokong aktiviti KKJA selama ini.
“Datuk Seri Christina sentiasa bersikap terbuka dan tidak pernah mengecewakan kami setiap kali kami memohon bantuan beliau,” katanya.
Turut hadir ialah Setiausaha KKJA Teo Jinn Jiun, Penolong Setiausaha Lester Joseph Bingkasan, Penolong Bendahari Yvonne Ho Yin Yin, Pegawai Rekreasi Yik Lai Ming, Pegawai Latihan Yap Siong Han serta Ahli Jawatankuasa Eksekutif Elton Gomes dan Lo Teck Loong.