EMPAT peserta muda dinobatkan sebagai juara bagi setiap kategori utama dalam pertandingan Borneo Got Talent & Performing Arts 2026 yang berlangsung di Dewan Hakka, Kota Kinabalu baru-baru ini.
Mereka ialah Muhlis Husrev mewakili Bandaraya Kota Kinabalu dalam kategori Seni Persembahan – Nyanyian; Siti Nur Fatin Pehan dari Pulau Banggi, Kudat (Seni Persembahan – Tarian); Mohammad Ashraf dari Beaufort (Seni Persembahan – Bakat Unik) serta Nur Ratu Mia Adriana mewakili Likas, Kota Kinabalu bagi kategori Project Runway – Kerja Berpasukan.
Program anjuran Lembaga Pengurusan Sekolah bersama Sekolah Menengah (SM) Lok Yuk Kota Kinabalu itu bertujuan mengetengahkan bakat belia dalam persembahan pentas selain mengumpul dana bagi pembangunan fasiliti sekolah.

Kira-kira 1,000 penonton hadir pada acara itu manakala ribuan lagi mengikuti pertandingan tersebut menerusi platform dalam talian.
Eve Saimon, Jordan Queka dan Kelly Tseu bertindak sebagai pengacara program.
Penyanyi Daniesh Suffian yang juga alumni SM Lok Yuk turut berkongsi pengalamannya pernah menyertai pertandingan seumpama itu sebelum berjaya dalam bidang nyanyian.
Beliau turut menggalakkan pelajar agar berani mencuba demi mengejar impian sebelum mendendangkan lagu popularnya Akhirnya Kamu dan Nothing’s Gonna Change My Love For You.
Ketua juri Esther Applunius menyatakan sokongan penuh terhadap usaha pihak sekolah dalam memberi ruang kepada belia meneroka potensi diri khususnya menerusi sokongan Pengetua Thein Nyuk Kong dan Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Jimmy Chu.
Juri kedua Rhowell Rolland pula menasihatkan peserta agar tidak takut tampil di atas pentas kerana keberanian untuk mencuba sudah menjadi satu kemenangan besar. Pengarah TV Sabah Dennis Patrick bertindak sebagai juri ketiga.
Dua juri jemputan dari Yuhan University, Korea Selatan iaitu Hyungjoo Kim dan Daroon Bong turut meluahkan rasa terkejut serta memuji bakat belia Borneo malah menyifatkan tahap persembahan peserta setanding pelajar universiti di Korea.
Bagi anugerah khas Nur Ratu Mia Adriana turut memenangi gelaran Model Terbaik manakala Za Divaz memenangi Kostum Terbaik dan Bakat Kreatif. Muhlis Husrev pula merangkul anugerah Paling Disukai di Media Sosial sementara Siti Nur Fatin Pehan memenangi anugerah Paling Popular menerusi Undian.
Penyelaras pertandingan peringkat negeri Walter Misir merakamkan penghargaan kepada penyelaras daerah iaitu Jeslyn Lau (Bandaraya Kota Kinabalu), Leon Dison (Penampang), Juan Richo (Kudat) dan Elizabeth Jipanis (Likas, Kota Kinabalu) atas usaha mencungkil bakat di peringkat akar umbi.