TAWAU: Kerajaan negeri akan memantau kesan kenaikan tarif elektrik kepada pengguna berikutan pelaksanaan semakan semula kadar sedia ada di Sabah dan Labuan bermula 1 Februari (Ahad).
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata kenaikan yang dialami pengguna negeri ini hanya sedikit dan tidak membebankan mereka.
“Kita akan sentiasa melihat kesannya tapi saya ingat kesannya cuma sedikit. Kalau sekarang seorang itu membayar RM100 dia cuma tambah mungkin RM15 saja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung di Taman Sawit, Balung di sini, Ahad.
“Ia tidaklah membebankan sangat kalau RM15 (tapi) kita dapat elektrik yang bagus, jadi ini rasionalnya (kenaikan tarif),” tambahnya.
Hajiji ditanya mengenai pelaksanaan semakan semula tarif elektrik Sabah Electricity Sdn Bhd yang menyaksikan pelarasan kadar tarif daripada kadar purata asas 34.52 sen/kWj kepada 39.70 sen/kWj.
Hajiji menjelaskan kadar baharu itu diluluskan oleh Jemaah Menteri dengan mengambil kira keperluan yang ada di Sabah ketika ini.
“Tarif di Sabah agak rendah berbanding di Semenanjung, kita cuma naik lima sen atau 15 peratus saja dan ini tidak begitu membebankan kepada rakyat biasa yang mungkin sekitar 70 peratus hingga 80 peratus di Sabah.
“Perkara ini tidak dapat dielak kerana kita menanggung kos yang tinggi, bermacam-macam sekarang ini. Jadi perlu untuk kita mengatasi semua ini,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan ketika ini memberi subsidi untuk bekalan elektrik di Sabah yang berjumlah lebih kurang RM700 juta setahun atau RM3.5 bilion dalam tempoh lima tahun.
“Kita tidak boleh berterusan begini. Kalau naik sedikit, begitu hanya lima sen, itu boleh mengurangkan subsidi yang diberi oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Kabinet Negeri bersetuju atas cadangan dikemukakan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan SE selepas mengambil kira peningkatan kos operasi janaan tenaga di negeri ini.
Kadar tarif baharu itu mewakili kenaikan lima sen setiap kilowatt-jam, bersamaan dengan peningkatan kira-kira 15 peratus bagi pengguna.