KINABATANGAN: Parlimen Kinabatangan dan Dun Lamag kekal menjadi milik Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan dan Lamag.
Mohd Kurniawan Naim Moktar, 32, menang dengan majoriti 14,214, sekali gus meneruskan legasi bapanya, Datuk Seri Bung Moktar, bekas penyandang kerusi berkenaan yang meninggal dunia pada 5 Disember 2025. Naim mendapat 19,852 undi menewaskan lawannya, Datuk Saddi Abdul Rahman (5,638 undi) dan Goldam H.Salangah (946 undi).
Parlimen Kinabatangan merupakan kubu kuat BN di mana BN telah memegang kerusi tersebut selama enam penggal sejak 1999. Ketika ditemui media, Naim menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pengundi yang telah memberikan kepercayaan kepadanya.
Meskipun hanya berbaki 22 bulan sahaja lagi sebelum Pilihan Raya Umum ke-16, Naim tetap bertekad akan memberikan perkhidmatan yang terbaik buat rakyat Kinabatangan.
Sementara itu, Mohd Ismail Ayob, 45, menang dengan majoriti 5,681 dalam persaingan satu lawan satu dengan Mazliwati Abdul Malek dari Parti Warisan.
Mohd Ismail yang dikenali sebagai Miha mendapat undi sebanyak 7,269 manakala Mazliwati mendapat 1,588 undi.
Untuk rekod, Miha sebelum ini telah bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-16, namun tewas kepada Bung.
Keputusan diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Kinabatangan, Eddy Syaizul Rizam Abdullah di pusat penjumlahan rasmi di Dewan Sri Lamag, di sini pada Sabtu.
Turut hadir semasa pengumuman keputusan tersebut ialah Timbalan Pengerusi BN Sabah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Jafri Arifin.