KOTA MARUDU: Ahli Parlimen Kota Marudu Datuk Wetrom Bahanda menganggarkan kira-kira RM1 juta diperlukan bagi membaiki infrastruktur khususnya jalan raya dan jambatan menghubungkan Kampung Sungoi Laut dan Kampung Sungoi Darat yang terputus akibat banjir baru-baru ini.
Kejadian itu telah menjejaskan lebih 200 penduduk apabila akses utama ke kawasan berkenaan terputus.
“Masalah ini perlu diselesaikan dengan segera.
“Ada penduduk yang terputus hubungan ke pekan, klinik, sekolah serta perkhidmatan asas lain.
“Kita akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berhubung perkara ini,” katanya ketika meninjau kawasan terjejas.
Beliau berkata peruntukan pembinaan jalan sebelum ini juga berada di bawah kementerian berkenaan namun memandangkan tahap kerosakan yang berlaku kita perlu mengemukakan permohonan baharu.
Wetrom berharap kerja-kerja pembaikan dan pembinaan semula jambatan yang rosak dapat dilaksanakan menggunakan struktur lebih kukuh serta tahan lama berbanding struktur sebelum ini.
“Selepas ini kita juga mencadangkan kepada pihak berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar serta Kerajaan Negeri dan Persekutuan supaya membenarkan kerja-kerja pembersihan atau pendalaman sungai di kawasan kampung termasuk melantik pemaju jika perlu,” katanya.
Menurut beliau dasar sungai kini dipenuhi batu-batu sehingga paras air hampir sama dengan paras jalan berbeza dengan keadaan sebelum ini yang jauh lebih dalam.
“Bagaimanapun kita akan mendapatkan pandangan dan kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan,” tambahnya.
Sementara itu seramai 63 orang penduduk terjejas banjir kilat disebahagian besar kawasan Kampung Sungoi Laut baru-baru ini menerima sumbangan berupa wang tunai.