Kota Kinabalu: Kes penderaan seksual terus mendominasi prosiding mahkamah di Sabah sepanjang 2025 dengan satu sabitan berprofil tinggi melibatkan seorang tokoh politik sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai jenayah berkenaan.
Antara kes yang menarik perhatian umum ialah melibatkan Phillip Among yang digantung tugas sebagai Penyelaras Parlimen Putatan Parti Solidariti Tanah Airku (Star).
Beliau dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM5,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda kerana mencabul seorang remaja perempuan empat tahun lalu.
Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman tersebut selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan mensabitkan Phillip atas pertuduhan itu.
Phillip didapati bersalah mencabul seorang gadis berusia 18 tahun kira-kira jam 11 malam, 17 April 2021 di ruang tamu Jesselton Capsule Inn di Asia City.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan Phillip untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Statistik menunjukan sedikit penurunan kes penderaan seksual di Sabah pada 2025 dengan kira-kira 100 kes direkodkan di seluruh negeri berbanding 112 kes pada 2024.
Kota Kinabalu kekal mencatatkan jumlah kes tertinggi diikuti Sandakan dan Tawau dengan banyak kes dibicarakan di Mahkamah Kota Kinabalu melibatkan mangsa dari daerah seperti Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu, Pitas, Kudat, Keningau, Beaufort dan Papar.
Prosiding mahkamah mendedahkan satu corak yang amat membimbangkan apabila banyak kes dilakukan oleh individu yang dipercayai mangsa termasuk bapa kandung, bapa tiri, abang, bapa saudara, datuk dan guru. Kebanyakan mangsa rogol adalah kanak-kanak perempuan bawah umur.
Sebahagian mangsa hamil dan melahirkan bayi akibat rogol manakala beberapa kes penderaan seksual turut melibatkan mangsa lelaki.
Hakim Mahkamah Sesyen berulang kali menyifatkan rogol dan penderaan seksual sebagai jenayah serius dan berleluasa dengan kes sedemikian hampir setiap hari dibawa ke mahkamah.
Pendakwa pula secara konsisten menuntut hukuman lebih berat bagi mencerminkan tahap keseriusan jenayah sama ada kes diselesaikan melalui pengakuan bersalah, pembebasan selepas perbicaraan penuh atau masih menunggu perbicaraan.
Satu lagi kes penting tahun ini melibatkan seorang lelaki berusia 40 tahun yang merogol dua anak tirinya selama 11 tahun.
Dia dijatuhi hukuman penjara 36 tahun dan 22 sebatan selepas didapati merogol kedua-dua mangsa sejak mereka berusia enam dan sembilan tahun di Keningau.
Dalam kes lain seorang lelaki berusia 54 tahun dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 30 tahun dan tiga sebatan kerana melakukan gangguan seksual fizikal terhadap dua murid tadika ketika menghantar dan mengambil mereka ke sekolah.
Rusli Japar mengaku bersalah atas pertuduhan menyentuh kemaluan dua kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.
Sementara itu seorang guru sekolah rendah berusia 33 tahun didakwa atas lapan pertuduhan melakukan gangguan seksual fizikal terhadap empat muridnya.
Lowoyon Elod Jiviol mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang menyatakan dia didakwa menyentuh payudara dan kemaluan dua murid perempuan dan dua murid lelaki berusia 11 tahun di dalam sebuah bilik darjah di Kudat pada 2024.
Satu lagi kes berprofil tinggi melibatkan seorang kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang menyalahgunakan kedudukanya dengan memanggil seorang remaja lelaki dari Tawau ke Kota Kinabalu atas alasan urusan kad pengenalan.
Sharif Hardi Roman Sh Miasin dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dan satu sebatan selepas mahkamah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Dia didapati bersalah melakukan perbuatan seks oral terhadap remaja lelaki berusia 15 tahun di tandas VVIP bangunan JPN pada 4 Januari 2022.
Mahkamah mengambil kira bahawa Sharif ketika itu bertugas di JPN dan telah menyalahgunakan kedudukanya dengan memanggil mangsa yang kemudian datang dari Tawau selepas ditawarkan bantuan.
Dalam satu lagi kes seorang guru agama Muhammad Sabri Saidin, 30, didakwa melakukan “sexual grooming” terhadap seorang remaja lelaki berusia 15 tahun melalui mesej dan teks WhatsApp berunsur seksual pada April lalu.
Beliau mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.
Sementara itu seorang guru sekolah rendah berusia 45 tahun dibebaskan daripada pertuduhan melakukan gangguan seksual fizikal terhadap murid lelaki berusia sembilan tahun tanpa dipanggil membela diri.
Mahkamah memutuskan tiada kes prima facie terhadap Rosle Basas yang didakwa menyentuh tubuh mangsa di dalam sebuah bilik darjah pada Ogos 2023.