Kota Kinabalu: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar memuji Koperasi Pembangunan Desa (KPD) kerana berjaya melepasi sasaran jualan bagi tahun 2025.
“Sasaran jualan bagi tahun ini ditetapkan sebanyak RM99.8 juta daripada produk pertanian KPD. Namun sehingga November, jumlah jualan telah mencecah RM99.9 juta, meningkat kira-kira RM1 juta, satu pencapaian yang amat membanggakan.
“Tahun hadapan, sasarannya adalah RM100 juta, dengan peningkatan tambahan RM1 juta selepas itu,” katanya.
Jamawi berkata KPD juga menyumbang RM7 juta kepada Kerajaan Negeri pada tahun ini, satu sumbangan yang konsisten sejak 2019.
“Dari tahun 2019 hingga 2025, KPD menyumbang kira-kira RM90 juta secara keseluruhan dengan RM7 juta dibayar setiap tahun kepada Kerajaan Negeri,” katanya.
“Ini memberi isyarat jelas kepada masyarakat bahawa sektor pertanian mampu menjadi bidang perniagaan yang menguntungkan sekiranya diurus secara sistematik dan berkesan,” katanya selepas meninjau KPD Avenue serta menerima taklimat mengenai operasi dan prestasi keseluruhan KPD sepanjang tahun 2025.
Beliau turut bertemu peniaga, pemborong dan usahawan di lokasi terbabit serta merasmikan pembukaan restoran Signal Seafood Steamboat.
Jamawi berkata pengusaha di KPD Avenue menyatakan kepuasan terhadap kadar sewaan ditetapkan, yang membantu meningkatkan pendapatan masing-masing.
“KPD juga mempunyai perancangan jangka panjang yang masih sedang dilaksanakan. Sebagai menteri bertanggungjawab, saya akan terus menyokong, memudah cara dan menjadi penghubung kepada KPD bagi menjana pulangan yang lebih besar melalui inisiatif pemodenan pertanian yang diperkenalkan oleh koperasi,” katanya.
Dalam usaha meningkatkan jualan di KPD Avenue, Jamawi berkata lebih banyak promosi perlu dijalankan.
“Saya akan terus melakukan lawatan tapak dan hari ini saya juga merakam video untuk mempromosikan kawasan ini supaya lebih ramai pemborong dan peruncit menyedarinya,” katanya.
Beliau berkata pasar borong beroperasi dari jam 3 pagi hingga 6 pagi, diikuti pasar harian dari jam 6 pagi hingga 3 petang, manakala aktiviti malam serta medan selera beroperasi pada waktu malam, menjadikan kawasan itu aktif sepanjang hari.
“Saya akan terus kembali untuk menilai bagaimana saya boleh membantu agensi-agensi ini. Salah satu cara sokongan saya adalah dengan menggunakan platform media sosial peribadi untuk mempromosikan nama dan aktiviti mereka,” katanya.
Sebagai contoh, Jamawi merujuk kepada penambahbaikan terkini di Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (Safma) yang menerima maklum balas sangat positif daripada pelanggan dan pemborong, yang turut meminta penambahbaikan lanjut.
“Saya terus mengarahkan pengurusan Safma melaksanakan penambahbaikan, yang membawa kepada peningkatan jualan dan pertambahan pelanggan.
“Kini lebih ramai golongan muda terlibat sebagai pemborong, menjual ikan di kawasan seperti Kota Belud, Ranau, Penampang dan Tuaran,” katanya.
“Ini telah mewujudkan rantaian perniagaan yang memberi manfaat kepada seluruh komuniti. Oleh itu, saya amat berpuas hati dengan KPD kerana mereka telah menubuhkan antara 10 hingga 12 pusat pengumpulan dan jualan hasil pertanian, sekali gus memastikan kelangsungan rantaian bekalan sektor pertanian,”
engulas perancangan masa depan, Jamawi berkata beliau merancang untuk memperkenalkan inisiatif kebun dapur pada tahun hadapan bagi menggalakkan komuniti menanam makanan di sekitar kediaman masing-masing.
Program ini bertujuan memenuhi keperluan makanan isi rumah, manakala lebihan hasil akan dikumpulkan di pusat pengumpulan pertanian yang ditetapkan dan diedarkan melalui saluran sedia ada, katanya.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Leonard Poyong, Pembantu Menteri Datuk Ruslan Muharam, Pengurus Besar KPD Jamilah Lee serta pegawai-pegawai lain.