Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata pembinaan Pan Borneo bukan satu-satunya punca banjir di Beaufort sebaliknya gabungan sistem perparitan yang kurang baik, pembangunan baharu, air pasang besar dan hujan lebat turut memainkan peranan.
“Sepanjang pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo beberapa langkah khusus telah dan sedang dilaksanakan oleh kontraktor untuk mengurangkan impak banjir yang berkaitan secara langsung dengan jajaran lebuh raya.
“Kementerian saya komited untuk terus melaksanakan tanggungjawab dalam skop bidang kuasa yang ditetapkan serta memperkukuhkan kerjasama strategik dengan semua agensi berkaitan.
“Pendekatan bersepadu ini penting untuk memastikan isu banjir di kawasan Beaufort dapat ditangani dengan lebih berkesan tanpa menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya, kelancaran trafik serta kebajikan penduduk,” katanya ketika penggulungan pada Rabu.
Dr Joachim yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bongawan yang membangkitkan kebimbangan mengenai banjir dan perkara berkaitan dengan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo beliau berkata masalah banjir memerlukan pendekatan holistik melibatkan banyak agensi dan faktor selain daripada pembinaan lebuh raya semata-mata.
Beliau turut menjelaskan bahawa peruntukan RM6.4 bilion yang dibentangkan tidak termasuk peruntukan bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo.
“Projek Lebuhraya Pan Borneo dibiayai sepenuhnya melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan. Sejumlah RM1.6 bilion telah diperuntukan oleh Kerajaan Persekutuan bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo seperti dibentangkan di bawah Belanjawan Madani 2026 pada 10 Oktober lalu,” kata Dr Joachim menjawab Sindumin.
Selain itu beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengambil langkah proaktif dengan meningkatkan keberkesanan dan ketegasan pemantauan terhadap kontraktor atau konsesi yang gagal melaksanakan kerja penyelenggaraan jalan, khususnya berkaitan isu lubang jalan.
“Sebagai langkah penambahbaikan JKR melakukan semakan terhadap perjanjian konsesi sedia ada di samping mesyuarat dan pemantauan yang berterusan.
“Draf perjanjian baharu yang dipersetujui antara JKR dan pihak konsesi menyediakan mekanisme potongan sekiranya konsesi gagal melaksanakan kerja penyelenggaraan mengikut spesifikasi dan jadual yang ditetapkan.
“Jika perjanjian baharu ini diluluskan ia akan meningkatkan tahap pematuhan dan ketegasan terhadap konsesi sedia ada,” katanya menjawab kebimbangan Adun Usukan mengenai penguatkuasaan.
Menjawab Adun Sekong Dr Joachim berkata kerja pembaikan jalan bagi Jalan Jaya Chip akan dilaksanakan dalam cadangan pelaksanaan 2026.
Beliau berkata bagi memastikan kepentingan Sabah terpelihara Kerajaan Negeri memutuskan setiap projek tenaga di Sabah mesti melibatkan pemilikan ekuiti dan penyertaan projek oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah yang berkeupayaan dari segi teknikal dan kewangan.
“Kerajaan Negeri melalui Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) akan memastikan tarif pengeluar tenaga bebas (IPP) adalah kompetitif. Setiap projek dinilai dari segi teknikal dan kewangan melalui pelantikan perunding, struktur kos diperiksa dengan lebih telus dan pulangan kepada pemaju dikawal pada tahap munasabah setimpal dengan risiko projek,” katanya.
Beliau berkata peranan ECoS dalam Pelan Pembangunan Tenaga (PDP) adalah penting dengan suruhanjaya berfungsi memastikan bekalan elektrik Sabah cekap, selamat dan kompetitif.
Proses perancangan itu turut melibatkan Pembeli Tunggal Sabah yang berperanan sebagai pembeli tunggal tenaga elektrik bagi pihak Kerajaan Negeri di bawah seliaan ECoS.
“Pemilihan kapasiti optimum dan jenis loji jana kuasa turut mengambil kira kriteria perancangan seperti margin simpanan, sumber penjanaan, tempoh pembangunan sumber, kos penjanaan, kehilangan beban setara serta imbangan campuran penjanaan,” katanya.
Beliau berkata PDP Sabah disediakan oleh Kerajaan Negeri melalui ECoS bagi memenuhi permintaan elektrik di Sabah.
“Pelan 10 tahun ini disemak setiap tahun dan dikemukakan kepada Majlis Tenaga Sabah untuk kelulusan melibatkan usaha daripada pelbagai pakar termasuk Pembeli Tunggal Sabah.
“Peranan IPP dikekalkan sebagai mekanisme pembiayaan pembangunan sektor tenaga namun dengan kawalan kos dan harga yang lebih ketat,” katanya.
Beliau berkata keutamaan Kerajaan Negeri ialah memastikan keselamatan bekalan terjamin, kos sistem dapat dikawal dan kepentingan rakyat Sabah dilindungi.
“Penyelesaian sebenar bukan pada bilangan IPP atau pemilikan aset oleh utiliti tetapi pada harga tenaga yang kompetitif dan mampu dibayar oleh pengguna Sabah,” katanya.