Kota Kinabalu: Menamatkan kontrak Pengeluar Kuasa Bebas (IPP) bukan penyelesaian bagi isu kos bekalan elektrik di Sabah kerana kos IPP adalah kompetitif dan penyerahan projek dilakukan secara telus, kata Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
“Saya perlu membetulkan fakta mengenai kos purata IPP di Sabah, yang berada pada sekitar 21.03 sen per kilowatt jam setakat Ogos 2025, bukan 43.83 sen seperti didakwa,” katanya, menjawab kebimbangan yang dibangkitkan oleh Usukan.
“Kadar 43.83 sen per kilowatt jam itu merupakan jumlah kos yang diluluskan kepada Sabah Electricity (SE) untuk menampung keseluruhan kos bekalan elektrik di Sabah, termasuk kos penjanaan sebanyak 27.94 sen dan 15.89 sen untuk penghantaran, pengagihan, runcit dan pulangan aset,” katanya, Rabu.
Beliau menekankan bahawa projek IPP dibangunkan melalui Inisiatif Kewangan Swasta (Private Finance Initiative), di mana kos pembangunan dan operasi ditanggung sepenuhnya oleh pemaju, membolehkan keperluan penjanaan dipenuhi tanpa membebankan SE atau Kerajaan dengan komitmen modal yang besar.
“Secara tipikal, kos pembangunan loji kuasa 100 megawatt adalah sekitar RM800 juta hingga RM1 bilion. Untuk memenuhi keperluan membangunkan 2,000 megawatt dalam 10 tahun, ia memerlukan pelaburan modal sekitar RM20 bilion,” katanya.
Beliau berkata pendekatan sama diamalkan di Semenanjung Malaysia dan kebanyakan negara lain, di mana penjanaan elektrik dibangunkan oleh sektor swasta manakala syarikat utiliti berperanan sebagai pembeli tenaga dan pengendali sistem.
“Penyelesaian sebenar bukanlah bilangan IPP atau pegangan aset oleh utiliti, tetapi harga tenaga yang kompetitif dan mampu milik oleh pengguna di Sabah.
“Kerajaan Negeri, melalui Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), akan memastikan tarif IPP kompetitif. Setiap projek dinilai dari segi teknikal dan kewangan melalui pelantikan perunding, struktur kos diperiksa dengan lebih telus dan pulangan kepada pemaju dikawal pada tahap munasabah selaras dengan risiko projek.”
Beliau berkata bagi memastikan kepentingan Sabah terpelihara, Kerajaan Negeri memutuskan bahawa setiap projek tenaga perlu melibatkan pemilikan ekuiti dan penglibatan projek oleh syarikat berkaitan kerajaan Sabah yang berkeupayaan dan mempunyai kapasiti teknikal serta kewangan.
Mengenai import bekalan elektrik dari Sarawak, Dr Joachim berkata Perjanjian Pertukaran Tenaga antara SE dan Sesco Berhad telah ditingkatkan daripada 30 megawatt kepada 50 megawatt dan mula beroperasi pada 13 Disember 2025.
“Tarifnya ialah 28.5 sen per kilowatt jam dengan kenaikan tahunan 1.5 peratus, dan ini kompetitif berbanding sumber penjanaan sedia ada.
“Bagaimanapun, berdasarkan Pelan Pembangunan Tenaga yang diluluskan dalam mesyuarat Majlis Tenaga Sabah, Kerajaan Negeri melalui ECoS bersama SE telah mula usaha untuk meningkatkan kapasiti sehingga 100 megawatt menjelang 2029,” katanya.
Beliau berkata jumlah megawatt yang dipersetujui antara SE dan SESCO Berhad mengambil kira lebihan kapasiti yang boleh dijual oleh SESCO ketika ini, dengan kajian teknikal menunjukkan 100 megawatt merupakan had maksimum yang diperlukan bagi menstabilkan sistem grid Sabah serta campuran penjanaan dan keselamatan tenaga yang seimbang, dengan keutamaan kepada sumber tempatan tanpa terlalu bergantung kepada import rentas sempadan.
Selain itu, Dr Joachim turut menjelaskan perbezaan kos projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) di Lahad Datu bernilai RM644 juta berbanding projek BESS serupa di Terengganu bernilai sekitar RM306 juta.
“Pertama, dari segi tempoh perolehan, projek BESS Lahad Datu dimuktamadkan pada 2023, manakala projek BESS Terengganu diperoleh sekitar 2025.
“Berdasarkan laporan industri BloombergNEF, harga bateri lithium-ion menurun hampir 30 peratus antara 2023 hingga 2025, selepas projek Lahad Datu dimuktamadkan,” katanya.
“Kedua, kapasiti terpasang BESS Lahad Datu adalah lebih besar iaitu sekitar 517 megawatt jam berbanding Terengganu sebanyak 400 megawatt jam.
“Kapasiti terpasang ini diperlukan untuk memastikan kapasiti berkesan 100 megawatt/400 megawatt jam dapat dikekalkan sepanjang tempoh operasi lima tahun, selaras dengan keperluan sistem elektrik pantai timur Sabah yang lebih terdedah kepada gangguan bekalan.
“Jumlah kos kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan BESS Lahad Datu ialah RM644 juta, termasuk RM2.4 juta bagi kos operasi dan penyelenggaraan dua tahun serta RM5.9 juta bagi Perjanjian Perkhidmatan Jangka Panjang lima tahun.
“Kos operasi BESS Lahad Datu adalah di bawah RM1.00 per kilowatt jam,” katanya.
Tegasnya Kerajaan Negeri yakin kos projek BESS Lahad Datu adalah munasabah dan bersesuaian selaras dengan kapasiti terpasang dan skop sebenar projek, termasuk kerja sambungan 275 kilovolt, keperluan sistem elektrik Sabah dan yang paling penting, tidak membebankan pengguna elektrik di negeri ini.