Thu, 2 Apr 2026
Headlines:
Saranan tubuh jawatankuasa khas tuntutan hasil 40 peratus
Published on: Tuesday, December 16, 2025
Published on: Tue, Dec 16, 2025
By: Sherell Jeffrey
Text Size:
Text:
Saranan tubuh jawatankuasa khas tuntutan hasil 40 peratus
Masiung berkata, kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah mengorbankan masa depan politik mereka demi kestabilan politik dan perpaduan negeri.
Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri disaran segera menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi merangka mekanisme tuntutan hasil 40 peratus daripada Kerajaan Persekutuan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuamut, Datuk Masiung Banah.

“Ramai yang masih keliru sama ada jumlah tuntutan itu RM10 bilion atau RM40 bilion. Saya mahu Kerajaan Negeri menubuhkan jawatankuasa khas ini sebaik sahaja persidangan Dewan Undangan Negeri berakhir.

Advertisement
“Jawatankuasa ini perlu menilai dan mengkaji mekanisme yang perlu dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan. Mesti ada keputusan muktamad daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2026 di sini, Isnin.

Masiung berkata, kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah mengorbankan masa depan politik mereka demi kestabilan politik dan perpaduan negeri.

SPONSORED CONTENT
Kota Kinabalu: KOTA KINABALU: Fiesta Mega Raya (FMR) 2026 is set to be the largest and most prestigious Hari Raya celebration in Sabah, taking place from March 7 to 18, at the Sabah International Convention Centre (SICC), here.
“GRS lantang menyuarakan hak Sabah bersama rakan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan. Apa lagi alasan yang mahu kita kemukakan kepada Kerajaan Persekutuan? Inilah jawapannya,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa keputusan mahkamah telah dibuat dan sekiranya itulah pendirian Kerajaan Negeri ketika ini, tiada alasan untuk Kerajaan Persekutuan terus melengahkan perkara tersebut.

Advertisement
“Mandat rakyat amat jelas,” katanya.

Menyentuh belanjawan, Masiung memaklumkan Kerajaan Negeri berjaya mencatat lebihan kira-kira RM28 juta walaupun peruntukan lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Advertisement
“Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun telah menjelaskan pengurangan belanjawan itu dipengaruhi faktor politik antarabangsa yang memberi kesan kepada ekonomi.

“Kita maklum kuasa-kuasa besar dunia memainkan peranan penting dan cuba mempengaruhi geopolitik serta pasaran antarabangsa, sekali gus bersaing menguasai ekonomi,” katanya.

Mengenai ekonomi Sabah, Masiung menggesa Kerajaan Negeri meneroka sumber mineral baharu bagi meningkatkan hasil.

“Ekonomi negeri sebelum ini didorong oleh kelapa sawit, petroleum dan pembalakan. Namun kini pembalakan hampir tiada. Kita hanya bergantung kepada kelapa sawit,” katanya sambil menyatakan harga kelapa sawit dan petroleum tidak menentu kerana bergantung kepada pasaran.

Beliau bersetuju dengan cadangan Ketua Pembangkang Senallang sebelum ini supaya sebuah loji pemprosesan emas dibangunkan.

“Kita bukan sahaja ada emas. Kita juga mempunyai unsur nadir bumi, titanium dan bauksit. Kenapa kita takut meneroka sumber ekonomi baharu ini? Di Sarawak, mereka sudah meneroka semua sumber mineral ini dan ekonominya baik,” katanya.

Menurutnya, kebimbangan terhadap pencemaran boleh dirujuk kepada pengalaman Sarawak yang masih mampu mengurus pembangunan dengan baik.

“Saya bersetuju dengan Ketua Pembangkang. Bukan emas sahaja perlu diteroka, tetapi semua sumber ekonomi dan mineral di bumi Sabah perlu dimanfaatkan agar dapat dinikmati rakyat Sabah,” katanya.

Dalam aspek pelaburan pendidikan, Masiung memuji Belanjawan 2026 yang selari dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya yang diguna pakai oleh Kerajaan GRS Plus dan GRS Perpaduan.

Beliau berkata, pembangunan modal insan menjadi tumpuan utama, berbeza dengan kerajaan negeri terdahulu yang tidak pernah memberikan bantuan RM200 kepada pelajar Tingkatan Lima dan Enam untuk peperiksaan.

“Pelajar yang memasuki universiti kini menerima RM1,500 bagi diploma dan RM2,000 bagi ijazah. Penjawat awam juga diberi peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara untuk menimba ilmu dan memperkukuh pemikiran,” katanya.

Beliau turut merujuk laporan media bahawa pelajar Sabah yang memasuki universiti atau program diploma di bawah Yayasan Sabah akan menerima pengajian percuma mulai 2027.

“Jika ini menjadi kenyataan, saya amat kagum kerana semua rangkaian liputan pendidikan di Sabah dapat dibantu oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Menyentuh isu perumahan, Masiung berkata Kerajaan Negeri menepati janji pilihan raya.

“Semasa pilihan raya, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan perumahan Sabah Maju Jaya akan ditingkatkan kepada 50 unit bagi setiap kawasan.

Peruntukan khas juga diberikan kepada golongan muda yang baru berkeluarga. Ini bukan sekadar janji politik. Dalam belanjawan ini, janji itu telah dilaksanakan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menggesa penjawat awam mempercepat pelaksanaan program kerajaan.

“Di atas kertas semuanya kelihatan baik, daripada program kerajaan hingga penyelesaian isu elektrik, air dan jalan raya. Namun pelaksanaan mesti dipercepat,” katanya.

Beliau turut membangkitkan isu bantuan pelajar yang masih belum diterima, termasuk bantuan RM200 kepada pelajar Tingkatan Enam, dan mempersoalkan kemungkinan wujud kerenah birokrasi kerana permohonan dibuat secara dalam talian.

“Di bandar mungkin tiada masalah. Tetapi di kampung pedalaman di kawasan berbukit dan sungai yang tiada internet, hanya bergantung kepada telefon, bagaimana?” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar permohonan tidak dipusatkan di satu tempat, sebaliknya pejabat daerah dan pejabat wakil rakyat digerakkan bagi membantu penyaluran bantuan.

“Jika kita bekerjasama, tidak banyak masalah dan pembangunan boleh dipercepat,” katanya.

Masiung turut menegaskan semua peruntukan belanjawan perlu dibelanjakan sepenuhnya sebelum akhir tahun, sambil menyatakan ada projek hanya dibayar pada tahun berikutnya akibat kelewatan pergerakan fail antara jabatan.

“Apa masalahnya? Tiga bulan di satu jabatan, tiga bulan lagi di jabatan lain, kemudian tiga bulan di jabatan seterusnya. Tahun pun berakhir dan projek tidak dapat dilaksanakan,” katanya.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here