EKONOMI Sabah dijangka mencatat pertumbuhan sekitar 2.0 peratus pada 2026, dipacu oleh pengembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berasaskan sektor perkhidmatan ketika negeri ini meneruskan pemulihan pasca pandemik.
Masidi berkata prospek itu disokong oleh “asas fiskal yang lebih kukuh dan pelaburan yang tinggi”, merujuk kepada laporan Sabah Economic Outlook 2026–2027 yang menunjukkan pemulihan aktiviti pelancongan, aliran perdagangan yang lebih mantap dan peningkatan penglibatan tenaga kerja sebagai petanda momentum ekonomi yang stabil.
Beliau memaklumkan ekonomi Sabah berkembang 1.1 peratus pada 2024, dengan KDNK meningkat kepada RM84.3 bilion daripada RM83.4 bilion setahun sebelumnya, manakala KDNK per kapita menurun kepada RM30,605 daripada RM31,235 akibat kadar pertumbuhan populasi lebih tinggi, iaitu empat peratus.
“Sabah menyumbang 5.1 peratus kepada KDNK Malaysia pada 2024, menjadikannya penyumbang ketujuh terbesar di peringkat nasional, mencerminkan kepentingannya walaupun berdepan tekanan struktur dan demografi,” katanya.
Sektor perkhidmatan kekal tunjang ekonomi negeri dengan 52.4 peratus, diikuti perlombongan dan kuari 22 peratus, pertanian 14.5 peratus, pembuatan 7.2 peratus dan pembinaan 3.5 peratus.
Dalam aspek perdagangan, Masidi berkata Sabah mencatat lebihan dagangan RM8 bilion antara Januari hingga September 2025, berkurangan berbanding RM11 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya, berikutan ketidaktentuan global termasuk “tarif balas oleh Amerika Syarikat terhadap beberapa rakan dagang utama”.
Eksport menurun kepada RM43.7 bilion daripada RM45.7 bilion terutamanya akibat prestasi lemah petroleum mentah dan baja diproses, manakala import meningkat kepada RM35.6 bilion daripada RM34.6 bilion berikutan peningkatan pembelian jentera, peralatan pengangkutan dan barangan buatan. Walaupun angka perdagangan lebih rendah, permintaan domestik kekal menyokong ekonomi, dengan inflasi menurun kepada 1.1 peratus sehingga September 2025, lebih rendah daripada kadar nasional 1.4 peratus dan 0.2 mata peratus berkurangan berbanding tahun sebelumnya.
Masidi menjelaskan penurunan harga itu didorong perbelanjaan isi rumah yang kukuh pada separuh pertama 2025, mencerminkan “keyakinan berterusan orang ramai terhadap ekonomi Sabah”. Dari perspektif sosial, pendapatan kasar bulanan isi rumah purata meningkat kepada RM6,498 pada 2024 daripada RM6,171 pada 2022, manakala kadar kemiskinan menurun daripada 19.7 peratus kepada 17.7 peratus dalam tempoh sama melalui program penghapusan kemiskinan bersasar.
Melihat ke hadapan, pertumbuhan 2026 dijangka dipacu terutamanya oleh sektor perkhidmatan, dengan pelancongan menjadi tunjang utama sejajar usaha promosi Tahun Melawat Malaysi 2026.
Masidi menambah, pembukaan Hospital Pakar Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Januari 2026 dijangka mengukuhkan sektor penjagaan kesihatan serta meningkatkan profil Sabah dalam pelancongan perubatan dan pendidikan.
Sektor pembinaan dijangka berkembang melalui projek berskala tinggi, termasuk Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1B sepanjang 388 kilometer bagi memperbaiki sambungan antara daerah dan keberkesanan logistik. Peningkatan kapasiti Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu daripada sembilan juta kepada 12 juta penumpang setahun dan Lapangan Terbang Tawau daripada 1.5 juta kepada 2.5 juta penumpang turut menyokong akses langsung Sabah ke 14 destinasi antarabangsa melalui 117 penerbangan dan 447 penerbangan domestik mingguan.
Masidi berkata, pengembangan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar daripada 0.5 juta kepada 1.25 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) dijangka memperkukuh daya tahan ekonomi dan daya tarikan pelaburan Sabah dalam keadaan global yang masih mencabar.