SABAH menarik pelaburan berjumlah RM11.368 bilion pada suku kedua tahun ini, menjadikannya penerima pelaburan kelima tertinggi di Malaysia.
Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata nilai pelaburan tersebut merangkumi pelaburan asing dan domestik dalam sektor perkhidmatan, pembuatan serta sektor utama, dan telah melebihi jumlah RM6.458 bilion yang dicatatkan pada 2024, sekali gus mencatat peningkatan ketara sebanyak 76 peratus.
“Sektor pembuatan kekal penyumbang utama dengan RM7.472 bilion, diikuti sektor perkhidmatan RM3.139 bilion, manakala sektor utama yang merangkumi industri, pelancongan dan pertanian menyumbang RM757 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2026.
Masidi menegaskan angka berkenaan menunjukkan keyakinan pelabur terhadap persekitaran ekonomi yang stabil di Sabah, dasar mesra pelabur serta komitmen Kerajaan Negeri dalam mengukuhkan ekosistem industri.
“Usaha berterusan Sabah untuk memperkukuh sektor industri melalui dasar inklusif, projek berskala besar dan penyediaan infrastruktur industri kondusif terus menunjukkan hasil positif.
“Sektor pembuatan negeri terus mencatat prestasi kukuh, menyumbang 7.2 peratus kepada KDNK Sabah dengan pertumbuhan 1.2 peratus pada 2024,” katanya, sambil menekankan sektor berkenaan kekal berdaya tahan walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
Antara pelaburan utama yang mendorong pertumbuhan sektor industri ialah pelaburan Fasa 1 bernilai RM6.592 bilion oleh Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd dari Singapura bagi kilang pembuatan keluli hijau di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (Sogip).
Projek ini melibatkan penumpuan bijih besi, pengeluaran pelet dan besi briket panas (HBI). Persiapan tapak telah bermula dan akan disusuli pembinaan jeti persendirian bagi menyokong logistik. Projek ini dijangka memperkukuh rantaian bekalan industri tempatan, menjana pekerjaan berkemahiran tinggi, meningkatkan penglibatan vendor tempatan dan memajukan ekosistem industri keluli Sabah.
Seiring aspirasi Sabah untuk mempercepat pembangunan sektor industri, RM249.19 juta diperuntukkan pada 2026. Daripada jumlah itu, RM194.04 juta diperuntukkan kepada Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (KPKP) serta agensinya bagi merangsang pertumbuhan industri, mempertingkatkan aktiviti promosi dan memperkukuh perdagangan.
Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) terus diberi keutamaan sebagai industri sokongan utama. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), Program Keusahawanan Negeri akan diperkenalkan pada 2026 dengan peruntukan RM5 juta bagi meningkatkan daya saing usahawan IKS. KPKP juga diperuntukkan RM16.86 juta untuk penyertaan dalam ekspo tempatan dan antarabangsa bagi mengembangkan akses pasaran produk Sabah.
Selain itu, RM18.55 juta diperuntukkan melalui Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk program pembangunan keusahawanan tempatan. RM15 juta disediakan untuk Program Bantuan SME-UP bagi meningkatkan kapasiti dan produktiviti IKS. KPLB diperuntukkan RM1.5 juta bagi melaksanakan Program Pemerkasaan Produk Luar Bandar dan Pembangunan Kemahiran Daerah, manakala RM2.05 juta disalurkan kepada Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi bagi program berskala tinggi termasuk Sabah Sandbox Accelerate 2026, Creative Incubator 2026 dan Pitchborneo.
Di bawah RMK-13, had kelulusan sebanyak RM500.1 juta diperuntukkan untuk 123 program dan projek, termasuk 34 projek lanjutan dan 89 projek baharu. Sebahagian peruntukan akan disalurkan kepada agensi di bawah KPKP seperti Sedco, KKIP Sdn Bhd, Poic Sabah Sdn Bhd dan Sabah Oil & Gas Development Corporation (SOGDC) Sdn Bhd.