TAWAU: Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Kembali ke Sekolah (KKS) 2026 dengan sasaran 269 siri penganjuran di seluruh negara, bermula 20 Dis hingga 11 Jan ini.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata sebanyak 174 pasar raya, pusat beli-belah dan kedai pakaian terlibat dengan PJRM Kembali ke Sekolah melalui pelaksanaan secara dalam dan luar premis.
“Program KKS ini diadakan sempena musim cuti sekolah bagi membantu golongan ibu bapa menyediakan kelengkapan anak-anak untuk memasuki sesi persekolahan baharu pada 2026,” katanya, di sini pada Sabtu.
Armizan berkata sebanyak 269 siri akan dijalankan meliputi 45 hingga 80 Stock Keeping Unit (SKU) seperti pakaian seragam, kasut, beg dan kelengkapan alat tulis pada kadar lebih murah dengan diskaun 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran semasa.
Menurutnya, program itu antara pengisian inisiatif Payung Rahmah yang diperuntukkan sebanyak RM300 juta di dalam Belanjawan 2016 oleh Kerajaan Madani di bawah kefungsian KPDN, termasuk PRJM di seluruh negara.
“KPDN akan terus memperkasa pelaksanaan PJRM termasuklah penambahbaikan dari aspek peluasan kaedah dan golongan sasar sedia ada, misalnya melalui penganjuran PJRM KKST 2026 pada kali ini,” katanya.
Keterangan lanjut, orang ramai, khususnya golongan ibu bapa, boleh merujuk takwim yang disediakan melalui pautan https://www.kpdn.gov.my/ms/jualan-rahmah untuk mengetahui tarikh dan lokasi PJRM KKS yang akan dianjurkan oleh KPDN.
Hadir sama, Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kukusan Datuk Rina Jainal, Ahli Parlimen Tawau Datuk Lo Su Fui dan Adun Balung Syed Ahmad Syed Abas.