TAWAU: Pemain perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di daerah ini digesa memanfaatkan tempoh kelonggaran pelaksanaan wajib e-invoicing dengan membuat persiapan awal supaya tidak berdepan kesulitan apabila dasar itu dikuatkuasakan sepenuhnya kelak.
Presiden Dewan Perniagaan Tionghua Tawau (CCCT), Chia Seong Fatt
(gambar), berkata penilaian semula dasar e-invoicing turut mengurangkan tekanan jangka pendek terhadap perusahaan mikro dan kecil, sekali gus menunjukkan kesediaan kerajaan mendengar pandangan akar umbi.
Namun, beliau menegaskan bahawa “pengecualian” berkenaan tidak kekal dan ambang pelaksanaan dasar itu boleh disemak pada bila-bila masa.
“Kini terdapat syarikat besar dalam rantaian bekalan yang enggan membeli daripada perusahaan mikro kerana ketiadaan e-invois. Jika perusahaan mikro di Tawau tidak membuat persediaan langsung, mereka berisiko tersingkir daripada pasaran pada masa depan,” katanya.
CCCT menyatakan pendirian itu susulan pengumuman kerajaan baru-baru ini menaikkan ambang pelaksanaan wajib e-invoicing daripada pendapatan tahunan RM500,000 kepada RM1 juta.
Sementara itu, Naib Presiden CCCT yang juga Pengerusi Biro Ekonomi, Low Foong Meng, berkata majoriti struktur perniagaan di Tawau terdiri daripada perusahaan mikro dan PKS.
Katanya, jika keseluruhan sektor lambat menyesuaikan diri, keadaan itu boleh melemahkan daya saing perniagaan tempatan dalam pasaran nasional.
“Pelaksanaan e-invoicing bukan sekadar sistem percukaian, tetapi asas penting kepada transformasi pendigitalan perniagaan. Tanpa persiapan awal, kos dan tekanan penyesuaian di masa depan akan lebih tinggi,” katanya.
Sehubungan itu, CCCT menyeru PKS di Tawau untuk mula memahami keperluan e-invoicing, membiasakan diri dengan cara operasi sistem serta aliran kerja pelaporan sepanjang tempoh kelonggaran ini bagi mengurangkan kejutan apabila pelaksanaannya bermula sepenuhnya.
Pada masa sama, peniaga juga disaran meneliti semula proses dalaman seperti pengeluaran invois, rekod perakaunan dan susunan pembelian supaya dapat diselaraskan dengan lancar apabila e-invoicing diwajibkan.
Dewan turut mengingatkan bahawa terdapat syarikat besar yang menolak pembelian kerana tidak menerima e-invois, sekali gus menjejaskan hubungan perniagaan serta sumber pesanan.
Selain itu, CCCT mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan untuk memudahkan pelaksanaan e-invoicing, termasuk mempermudah sistem dan prosedur pelaporannya agar perusahaan mikro yang mempunyai sumber terhad dapat menggunakannya dengan mudah.
“Secara khusus, dewan menyarankan supaya pelaksanaan peraturan berkaitan ‘Self-Billed Invoice’ ditangguhkan sementara untuk mengelakkan ketidakpatuhan tidak sengaja dan penalti akibat peraturan yang kompleks.
“Dewan juga menggesa kerajaan mewujudkan mekanisme sokongan jangka panjang seperti latihan percuma dalam talian, ceramah bergerak dan platform bantuan teknikal bagi membantu peniaga di kawasan pedalaman serta mereka yang kurang mendapat maklumat menyesuaikan diri dengan lebih teratur,” kata mereka.
Bagi mengurangkan kos transformasi, dewan berkenaan turut mencadangkan subsidi sistem digital atau rebat cukai bagi membantu perniagaan memperoleh perisian dan peralatan diperlukan untuk mempercepat pendigitalan.