Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 38 tahun dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan tiga kali sebatan rotan kerana berulang kali mengambil syabu.
Hakim Mahkamah Sesyen Zaini Fishir menjatuhkan hukuman itu selepas Aziz Adi didapati bersalah sebagai pesalah berulang dalam kesalahan berkaitan dadah.
Aziz melakukan perbuatan itu pada jam 5.30 petang, 9 September tahun ini selepas ujian air kencingnya di balai polis di sini didapati positif dadah.
Dia mempunyai satu rekod sabitan lampau di bawah Seksyen 39C(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB).
Kesalahan di bawah Seksyen 39C(2) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(1) ADB itu memperuntukkan hukuman penjara antara tujuh hingga 13 tahun serta sebatan antara tiga hingga enam kali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Aziz menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap serta diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman penjara.
Semasa mitigasi, Aziz yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya DK Afiqah Alya PG Johari mnggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana Aziz sudah berulang kali mengambil dadah.