Kota Kinabalu: Seorang pendatang tanpa izin (PTI) warga Filipina berusia 42 tahun didakwa di Mahkamah Majistret pada Rabu atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 1,014 gram.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Arizan Raidi ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Marilyn Kelvin.
Arizan didakwa melakukan kesalahan itu pada 20 Oktober tahun ini sekitar jam 11.30 pagi di tepi jalan berhampiran kawasan pondok teksi bersebelahan sebuah pondok di hadapan Hotel Promenade.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 15 sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 12 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Tertuduh diperintahkan ditahan lanjut kerana kesalahan itu tidak boleh diikat jamin.
Dalam kes berasingan seorang wanita berusia 24 tahun didenda RM1,600 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah memiliki peralatan perjudian.
Tertuduh Norhafizah Osin mengaku bersalah memiliki dua keping tiket loteri tanpa lesen pada 8 Ogos tahun ini di sebuah premis di kawasan Beverly Hills, Penampang.
Kesalahan itu di bawah Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukan hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah dimaklumkan bahawa Norhafizah ditangkap polis kerana terlibat dalam aktiviti perjudian haram di kawasan tersebut dan pihak polis turut merampas wang tunai sebanyak RM204 daripadanya.
Peguam bela bertugas Lim Ming Zoong memohon hukuman denda yang lebih ringan manakala pihak pendakwaan memohon hukuman bersifat pengajaran.
Mahkamah turut membenarkan permohonan pendakwaan agar wang tunai yang dirampas dilucuthakan dan diserahkan kepada hasil kerajaan.
Inspektor Yusdi Basri mengendalikan pendakwaan.