PAPAR: Program Sekolah Angkat Madani yang diperkenalkan kerajaan terus memberi manfaat besar kepada sekolah-sekolah luar bandar di seluruh negara termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Sumbiling Bongawan.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin berkata program berkenaan bertujuan membantu menaik taraf sekolah daif di agar murid dan guru dapat menikmati kemudahan lebih baik tanpa perlu melalui proses birokrasi rumit.
“Pelaksanaan program Sekolah Angkat Madani dengan had maksimum RM100,000 bagi satu sekolah akan dijadikan penanda aras untuk semua agensi kerajaan melaksanakan pendekatan berbeza agar dapat dimanfaatkan warga sekolah sekali gus meningkatkan kualiti penyampaian pendidikan.
“Dengan cara ini rakyat khususnya cikgu dan murid dapat menikmati faedah secepat mungkin tanpa melalui proses yang rumit seperti dulu,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Sekolah Angkat Madani MKN, Jabatan Perdana Menteri di SK Sumbiling Bongawan pada Selasa.
Mengulas lanjut mengenai peruntukan RM100,000 Nushirwan menjelaskan peruntukan terbabit diagihkan secara sama rata bukan sahaja melibatkan agensi kerajaan malah turut disertai oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memastikan pelaksanaan program berkenaan memberi kesan segera kepada sekolah-sekolah yang memerlukan.
Menurutnya dalam konteks MKN beliau telah meminta agar satu sekolah daif di Sabah dikenal pasti.
“Bagi SK Sumbiling skop program ini ditumpukan khusus kepada penambahbaikan fasiliti sekolah yang uzur serta penggantian kerusi dan meja guru dengan hasrat untuk meningkatkan keselesaan serta motivasi murid dan barisan pendidik.
“Saya berpuas hati dengan komitmen kerjasama pengurusan sekolah, pejabat pendidikan daerah, pejabat daerah, PIBG serta kontraktor dilantik yang berjaya menyiapkan sepenuhnya projek dirancang dua minggu lebih awal dari tarikh asal,” tambahnya.
Nushirwan turut menyatakan harapan agar murid-murid yang menerima manfaat daripada program itu terus berusaha gigih dalam pelajaran dan menjadi aset berharga kepada negara.
“Harapan saya agar anak-anak murid belajar bersungguh-sungguh untuk mendapat masa depan yang lebih baik seterusnya membantu keluarga serta kampung halaman mereka,” ujar beliau.
Sementara itu Guru Besar SK Sumbiling Bongawan Asney Jais memaklumkan menerusi program tersebut beberapa kelengkapan sekolah telah ditambah baik antaranya dua blok bilik darjah, penggantian pintu, kipas, lampu, papan putih bilik darjah, meja dan kerusi.
“Dengan kerjasama dengan MKN ini saya harap sekolah mendapat manfaat yang berterusan demi kecemerlangan warga sekolah,” katanya..
SK Sumbiling mempunyai 172 murid dan dikategorikan sebagai sekolah gred A dalam kawasan luar bandar di bawah Pejabat Pendidikan Beaufort.