Tuaran: Seorang ibu yang cuba menghalang anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daripada menahan anaknya kerana disyaki terlibat penyalahgunaan dadah akhirnya reda selepas diberikan penjelasan mengenai kesalahan dilakukan.
Dalam Ops Cegah AADK Daerah Tuaran yang dijalankan pada Jumaat, wanita berkenaan pada awalnya merayu agar anaknya tidak ditangkap namun akur selepas ketua operasi menjelaskan tindakan penguatkuasaan yang dijalankan adalah berdasarkan kesalahan positif dadah jenis syabu.
Ketua AADK Daerah Tuaran Helmy Freddy yang mengetuai operasi itu berkata seramai 14 individu ditahan mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selepas didapati positif dadah.
Beliau berkata operasi turut dibantu oleh Unit Penguatkuasaan AADK Negeri Sabah berdasarkan aduan awam yang diterima berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah di sekitar daerah terbabit.
“Pihak AADK turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat yang prihatin serta memberikan kerjasama dalam membantu usaha membanteras penyalahgunaan dadah.
“Kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu pihaknya mengesan serta mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dengan penyalahgunaan bahan terlarang.
“Usaha membanteras masalah dadah bukan sahaja melibatkan tindakan penguatkuasaan malah turut memberi penekanan terhadap aspek rawatan, pemulihan dan sokongan kepada individu yang terlibat supaya mereka dapat kembali menjalani kehidupan yang lebih baik.
“Orang ramai yang memerlukan khidmat nasihat berkaitan penyalahgunaan bahan atau dadah boleh mendapatkan bantuan di pejabat AADK berhampiran,” ujarnya.