LAHAD DATU: Jabatan Imigresen Sabah menghantar pulang 166 warga Filipina dari sini ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi, Filipina.
Program pada Jumaat itu melibatkan 143 lelaki, enam wanita, sembilan kanak-kanak lelaki dan lapan kanak-kanak perempuan berusia antara empat bulan hingga 66 tahun. Semua kanak-kanak terbabit diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua individu yang terlibat dalam program tersebut berasal dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Sandakan.
Beliau berkata, pada 16 Jun lalu, Jabatan Imigresen turut menghantar pulang 11 warga Filipina melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ke Manila, manakala di Tawau, sembilan warga China dihantar pulang melalui Lapangan Terbang Tawau ke Guangzhou, China.
Menurutnya, sehingga kini seramai 3,625 warga asing telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing menerusi program berkenaan, termasuk 2,428 warga Filipina dan 70 warga China.
Katanya, semua peserta program telah menyelesaikan proses perundangan di Malaysia dan memiliki dokumen perjalanan yang telah disahkan.
Sitti Saleha berkata, jabatan itu akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana majikan yang melindungi pekerja asing tanpa dokumen sah.
Beliau berkata, majikan boleh didakwa mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan berdepan hukuman denda, penjara serta sebatan kerana melindungi pendatang asing tanpa izin.