Kota Kinabalu: Mahkamah Majistret pada Khamis menetapkan 6 Julai depan untuk sebutan semula kes melibatkan 45 daripada 61 warga China yang didakwa berkomplot menjalankan skim pelaburan tidak wujud.
Majistret Dzul Elmy Yunus menetapkan tarikh itu selepas peguam bela mereka memohon satu lagi tarikh sebutan.
Ke-45 tertuduh ialah Wong Pan, He Zhegiang, Huang Wan, Han Hexiang, Liao Liangwu, Luo Mengting, Liao Tao, Wang Junjie, Tang Long, Xiao Beiping, Qin Yanzhao, Wu Nengrang, Han Fu, Xu Jianzhong, Lin Yunfeng, Gao Shiqiang, Liu Zhuang, Peng Gang, Duan Jing, Liu Jian, Li Zhiqiang, Jiang Heng, Zhou Yongjing, Jiang Xinglong, Zheng Lin, Zhang Bin, Zhang Wei, Cai Jianren, Yang Chao, Ma Guangcai, Wu Wenfeng, Zhuo Chong, Qiao Jie, Liu Fei, He Tianyu, Wang Yong, Wei Hongzhuan, Li Qing Wen, Huang Shikui, Zeng Wu, Zhou Xiang, Chen Siyu, Yuan Chuangang, Zhu Xiao Juan dan Zeng Jie.
Mereka didakwa bersama-sama menjadi pihak dalam suatu pakatan jenayah dengan bersetuju memperdaya mangsa supaya mempercayai kewujudan satu skim pelaburan yang sebenarnya tidak wujud, yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit di Sutera Avenue, Jalan Coastal Highway, Sembulan, pada jam 12 tengah hari, 23 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Peguam Hairul V Othman memaklumkan mahkamah bahawa semua tertuduh sebelum ini telah dihadapkan di Mahkamah Sesyen di mana representasi berhubung pertuduhan di bawah Akta Imigresen telah dikemukakan.
Menurutnya pihak pendakwaan meminta tempoh dua hingga tiga minggu untuk meneliti representasi tersebut dan Mahkamah Sesyen menetapkan 2 Julai untuk sebutan status permohonan itu.
Beliau berkata dalam prosiding di Mahkamah Majistret, representasi yang sama turut dikemukakan berhubung pertuduhan dan tertuduh terbabit serta memohon tarikh sebutan yang sama.
Hairul turut memaklumkan bahawa sebuah lagi Mahkamah Majistret telah menetapkan 2 Julai bagi sebutan kes melibatkan baki 16 tertuduh yang menghadapi pertuduhan serupa.
Pada 11 Mei lalu kesemua 61 tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut, manakala tiga lagi tertuduh mengaku bersalah dan masing-masing didenda RM3,500 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Kesemua 61 tertuduh turut diperintahkan untuk terus ditahan reman sehingga sebutan semula kes mereka.
Mahkamah kemudian menetapkan 6 Julai sebagai tarikh sebutan bagi kes semasa sementara menunggu keputusan terhadap representasi yang dikemukakan pihak pembelaan.
Hairul hadir bersama peguam Luke Ressa Balang.
Pada 8 Jun lalu seramai 20 lelaki warga China dan seorang wanita warga Taiwan turut didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan sama membabitkan pakatan jenayah berkaitan skim pelaburan tidak wujud.
Kesemua 21 tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan kesalahan itu di sebuah bilik hotel di Bandaran Berjaya kira-kira jam 10 malam pada 21 Mei lalu.
Mereka diperintahkan untuk terus direman sementara menunggu sebutan semula kes yang ditetapkan pada 12 Jun.