BEAUFORT: Penduduk Kampung Selagon di sini menarik nafas lega selepas seekor buaya jantan sepanjang 10 kaki ditembak mati oleh renjer Jabatan Hidupan Liar Sabah pada Khamis selepas lebih sebulan dipantau.
Ketua Kampung Selagon Minah Diso berkata reptilia itu ditembak kira-kira jam 9 pagi.
Advertisement
.gif)
“Jabatan Hidupan Liar menjejaki buaya itu selama lebih sebulan sebelum ia akhirnya muncul dan berjaya ditembak. Kami amat berterima kasih kepada pihak jabatan kerana mengambil tindakan,” katanya kepada Daily Express pada Jumaat.
Beliau berkata penduduk kampung kerap terserempak dengan haiwan pemangsa itu di jalan raya pada waktu malam sekali gus mengancam keselamatan awam.
“Jika penduduk berjalan tanpa menggunakan lampu suluh, mereka berisiko menjadi mangsa,” katanya.
Bagaimanapun, Minah mengingatkan bahawa ancaman itu masih belum berakhir kerana buaya yang ditembak dipercayai masih buaya muda manakala ibu buaya terbabit masih belum berjaya ditangkap.
“Ini bermakna masih terdapat lagi buaya di sungai itu walaupun kami tidak mengetahui jumlah sebenarnya,” katanya.
Minah turut menggesa ibu bapa supaya tidak membenarkan anak-anak mereka mandi di sungai atau melakukan sebarang aktiviti berhampiran tebing sungai, termasuk memancing bagi mengelakkan serangan buaya.
“Kami tidak mahu orang ramai keluar memancing tetapi akhirnya diserang buaya. Ibu bapa perlu sentiasa berwaspada,” katanya.