SANDAKAN: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) memperluaskan usaha mendekati masyarakat dengan melancarkan Pasukan Petugas Cina Upko Sandakan.
Penubuhan pasukan berkenaan dilihat sebagai sebuah platform baharu yang bertujuan memperkukuh hubungan dengan komuniti Cina di bandar terbabit.
Advertisement
.gif)
Presiden Upko yang juga Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick berkata pasukan itu dilancarkan sempena Mesyuarat Agung Tiga Tahunan (TGM) Bahagian Libaran pada Ahad.
“Pasukan petugas akan diterajui oleh empat penyelaras yang dilantik untuk mengetuai usaha mendekati masyarakat, memperkukuh penglibatan di peringkat akar umbi serta menjadi penghubung antara Upko dan komuniti Cina tempatan.
“Penubuhan itu juga mencerminkan komitmen Upko sebagai sebuah parti politik yang inklusif dan mewakili kepelbagaian masyarakat di Sabah,” katanya.
Beliau menegaskan penyertaan aktif daripada semua kaum amat penting bagi memastikan suara rakyat dapat diwakili dengan berkesan selaras dengan visi Upko untuk memupuk perpaduan, kerjasama dan pembangunan yang inklusif.
Menurutnya pelancaran platform itu turut dilihat sebagai langkah strategik parti untuk mengukuhkan kehadirannya di Sandakan khususnya dalam kalangan masyarakat Cina yang memainkan peranan penting pembangunan ekonomi dan sosial bandar tersebut.
Sementara itu pada majlis sama sebanyak 10 cawangan protem baharu di Bahagian Libaran menyerahkan borang keahlian sekali gus membawa lebih 400 ahli baharu menyertai Upko.
Sementara itu Dr Peter JR Naintin berjaya mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Bahagian Upko Libaran bagi penggal 2026–2029 selepas menerima mandat daripada lebih 200 perwakilan dan pemerhati.
Upko ketika ini mempunyai 26 bahagian di seluruh negara termasuk sebuah bahagian di Perak dan dijadual mengadakan Kongres 2026 pada Ogos depan.