Kota Kinabalu: Seorang penjual makanan didenda RM1,400 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret pada Selasa selepas mengaku bersalah menjual kuih pelita jagung yang tercemar dengan bakteria patogen Bacillus cereus di sebuah bazar Ramadan di Penampang awal tahun ini.
Najib Azmi, 33, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus atas pertuduhan menjual makanan sedia dimakan yang mengandungi bakteria berbahaya tersebut di gerai Receipi Mamana Budi, Kepayan Point, kira-kira jam 4.40 petang pada 23 Februari lalu.
Advertisement
.gif)
Mengikut pertuduhan Najib menjual kuih pelita jagung berharga RM6 kepada seorang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran yang merupakan pegawai diberi kuasa di bawah Akta Makanan 1983.
Hasil analisis makmal mendapati sampel makanan itu mengandungi Bacillus cereus pada kadar 1.5 x 10⁴ CFU/g sekali gus menunjukkan ia tercemar.
Kesalahan di bawah Peraturan 39(2), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.
Pegawai pendakwa dari Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Adrian Adrin Annah memberitahu mahkamah bahawa sampel kuih pelita jagung itu diambil ketika operasi pensampelan makanan secara rutin di bazar Ramadan berkenaan.
Sampel kemudian dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu untuk analisis mikrobiologi.
Keputusan yang diterima pada 19 Mac mendapati kuih tersebut mengandungi Bacillus cereus iaitu mikroorganisma patogen yang boleh menyebabkan keracunan makanan dan tidak sepatutnya terdapat dalam makanan yang sedia untuk dimakan.
Siasatan mendapati Najib sebagai penjual bertanggungjawab memastikan makanan yang dijual bebas daripada pencemaran tersebut namun tindakannya didapati melanggar Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Dalam kes berasingan seorang wanita berusia 37 tahun didenda RM1,800 atau penjara lima bulan selepas mengaku bersalah gagal mematuhi award yang dikeluarkan oleh Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.
Noor Farizzah Usman didakwa gagal mematuhi award bertarikh 28 Oktober 2025 yang mengarahkannya membayar RM16,920 kepada penuntut, Chandra Coyco Cumesa dalam tempoh 14 hari.
Kesalahan itu dikesan pada 5 Januari 2026 di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah selepas tertuduh gagal mematuhi perintah tribunal dalam tempoh yang ditetapkan.
Kesalahan di bawah Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 boleh dihukum mengikut peruntukan akta yang sama.
Pegawai pendakwa KPDN Gunasegaran Krishan memaklumkan mahkamah bahawa tribunal telah mengarahkan Noor Farizzah memulangkan RM16,920 kepada penuntut dalam tempoh 14 hari dari tarikh award dikeluarkan.
Bagaimanapun tertuduh gagal berbuat demikian sebelum penuntut membuat aduan kepada kementerian pada 5 Januari tahun ini berhubung ketidakpatuhan terhadap award yang dikeluarkan pada 28 Oktober 2025 itu.