PUTATAN: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) menyasarkan untuk bertanding di kerusi Parlimen Putatan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ketua Bahagian Upko Putatan Datuk Dr Marcus M Mojigoh (gambar) berkata persiapan sedang dijalankan walaupun calon yang sesuai dan berpotensi untuk menang masih belum dikenal pasti.
Advertisement
.gif)
Menurut beliau bahagian itu masih menilai beberapa calon yang mampu memberi saingan kuat bagi kerusi berkenaan namun mengakui proses peralihan kepimpinan bahagian akan memainkan peranan dalam menentukan calon akhir parti.
Dr Marcus yang juga bekas Ahli Parlimen Putatan itu menamakan Jason Lee yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Tanjung Keramat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2025 sebagai antara individu berpotensi mengambil alih kepimpinan Upko Putatan dan mewakili parti di bawah tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Buat masa ini kami belum mengenal pasti calon yang sesuai dan boleh menang. Bagaimanapun seseorang akan mengambil alih jawatan saya sebagai ketua bahagian.
“Jika Jason Lee menjadi ketua bahagian maka kami mungkin akan mengetengahkan beliau sebagai calon Upko di bawah tiket GRS bagi kerusi Parlimen Putatan pada PRU akan datang,” katanya kepada pemberita pada sambutan Pesta Kaamatan Kampung Tombovo baru-baru ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa Upko telah mengemukakan permohonan untuk menyertai GRS pada bulan lalu.
Sementara itu Dr Marcus menggesa agar parti-parti politik tempatan Sabah memperkukuhkan perpaduan dengan menyatakan bahawa negeri ini boleh mencontohi model kerjasama politik dan kestabilan yang diamalkan di Sarawak.
Beliau berharap pemimpin daripada kedua-dua blok politik di Sabah termasuk Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dapat bekerjasama demi kepentingan negeri.
“Saya berharap rakyat Sabah melakukan perkara yang sama. Semoga pemimpin seperti Hajiji dan Shafie dapat bekerjasama sebagai parti-parti tempatan Sabah yang bersatu,” katanya.
Menurut beliau kerjasama antara Warisan dan GRS mampu menyumbang kepada pembentukan pentadbiran negeri yang lebih kukuh dan stabil.
“Saya berharap Shafie dapat bekerjasama dengan Hajiji dan membentuk sebuah Kerajaan Negeri yang sangat stabil seperti di Sarawak,” katanya.