LAHAD DATU: Polis menahan tiga lelaki tempatan dan merampas 51.65 gram syabu dalam satu serbuan di Kampung Ulang-Ulang, Tungku, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Polis Dzulbaharin Ismail berkata sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di kawasan itu kira-kira jam 9.15 malam di bawah Op Tapis.
“Tiga suspek berusia antara 20 hingga 30 tahun itu ditahan di dalam rumah berkenaan dan hasil pemeriksaan menemukan dadah dipercayai syabu di dalam sebuah beg kecil,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut Dzulbaharin, serbuan itu turut membawa kepada penemuan dan rampasan pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
Beliau berkata semua suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.