Kota Kinabalu: Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) menegaskan bahawa istilah “sekolah daif” dan “bangunan daif” perlu difahami sebagai dua perkara berbeza, supaya isu pendidikan di negeri ini tidak disalah tafsir, kata Menterinya Datuk James Ratib.
Beliau dalam kenyataan Selasa berkata sekolah daif merujuk kepada keadaan keseluruhan sistem pendidikan dan ekosistem persekolahan manakala bangunan daif hanya melibatkan struktur fizikal sekolah yang memerlukan penyelenggaraan, baik pulih atau penambahbaikan infrastruktur.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Beliau berkata sekolah daif juga, meliputi pelbagai aspek termasuk sistem pembelajaran, capaian Internet, pengurusan sekolah, akses pendidikan, kemudahan pembelajaran serta keberkesanan sistem persekolahan itu sendiri.
“Sebaliknya, bangunan daif hanya melibatkan keadaan struktur fizikal bangunan sekolah yang memerlukan penyelenggaraan, baik pulih atau penambahbaikan infrastruktur tertentu. Ia tidak bermaksud keseluruhan sistem sekolah tersebut adalah daif,” katanya.
Penjelasan berkenaan dibuat, susulan terdapat pihak tertentu yang didakwa cuba mengelirukan rakyat melalui permainan sentimen politik berkaitan isu sekolah daif di Sabah, sekali gus menimbulkan persepsi tidak tepat terhadap usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh sistem pendidikan di negeri itu.
James berkata terdapat sekolah yang bangunannya perlu dinaik taraf, namun sistem pembelajaran, pengurusan sekolah, komitmen guru serta pencapaian murid masih berada pada tahap baik dan konsisten.
“Dalam mengangkat martabat pendidikan di Sabah, KPSTI bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mempunyai naratif yang sangat jelas, bahawa usaha memperkukuh sistem pendidikan negeri tidak hanya tertumpu kepada aspek fizikal bangunan semata-mata, tetapi turut merangkumi pengukuhan keseluruhan ekosistem pendidikan.
“Termasuk kualiti pengajaran dan pembelajaran, capaian Internet, akses pendidikan, pembangunan digital, kebajikan murid serta keberkesanan sistem persekolahan secara menyeluruh,” katanya.
Kerajaan Negeri juga katanya telah memperkenalkan 14 inisiatif pendidikan melalui Pejabat Tugas-Tugas Khas di bawah KPSTI dan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) bagi memastikan akses pendidikan lebih menyeluruh kepada anak-anak Sabah.
Selain itu, beliau berkata KPSTI telah memohon peruntukan khas daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi tujuan pembelian papan pintar untuk kegunaan sekolah di Sabah, sebagai usaha memastikan murid tidak ketinggalan dalam arus pendigitalan pendidikan.
“KPSTI juga telah melaksanakan kursus percuma, melibatkan empat Institut Pendidikan Guru di Sabah bagi memperkukuh kemahiran serta meningkatkan ilmu tenaga pengajar selaras dengan keperluan pendidikan semasa dan teknologi baharu,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata pihaknya tidak pernah menafikan masih terdapat cabaran pendidikan di Sabah termasuk isu keciciran pelajar, akses Internet, pengangkutan serta kemudahan pendidikan di kawasan pedalaman dan pulau terpencil.