KUNAK: Hampir keseluruhan kedai dan pasaraya di sini kehabisan beras putih tempatan dan import tiga hari lepas berikutan pembelian panik oleh pengguna.
Tinjauan Harian Ekspres mendapati hanya beras wangi dengan harga lebih tinggi masih berada di ruang jualan.
Advertisement
_E.jpg)
Presiden Barisan Pengguna Sabah (CFOS) Nordin Thani menggesa pihak berkaitan agar melakukan pemantauan segera termasuk pelaksanaan audit yang menyeluruh terhadap rantaian penjualan beras kepada pengguna.
“Audit menyeluruh perlu dijalankan termasuk transaksi jualan kepada pengguna bagi memastikan bekalan beras yang dikatakan mencukupi dapat diperolehi oleh semua pengguna.
“Saya menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan semua agensi berkaitan untuk melihat perkara ini dengan lebih serius,” katanya kepada Harian Ekspres pada Selasa.
Nordin berkata tindakan perlu dijalankan untuk memastikan peraturan dipatuhi, sambil menambah, jika perlu pengehadan pembelian untuk setiap pengguna mungkin boleh dilaksanakan.
Advertisement

Menurutnya, pembelian panik antara punca berlaku kehabisan beras di pasaran bagi sesetengah tempat termasuk di Kunak, Lahad Datu dan Tawau,
Beliau berkata hasil audit penting untuk membolehkan pihak berkuasa mengenalpasti mana-mana ketidak-patuhan termasuk kegiatan menyorok bekalan.
Menurut Nordin, pemeriksaan rekod seperti invois dan jualan syarikat perlu untuk mengesan sebarang aktiviti menyorok bekalan. Pengguna juga perlu diberi nasihat agar tidak melakukan pembelian panik,” katanya.
Sementara itu, seorang wakil pembekal beras berkata syarikatnya memberi jaminan bekalan beras akan dihantar ke Kunak selewatnya pada Rabu untuk memenuhi permintaan pengguna terutama beras putih tempatan dan import.
“Sikap pengguna yang melakukan pembelian panik punca bekalan beras habis di pasaran,” katanya.