Kuala Lumpur: Terdapat 2,125,587 pekerja asing di negara ini, di mana 130,391 daripadanya berada di Sabah. Ahli Parlimen (MP) Ranau Datuk Jonathan Yasin berkata, perladangan merupakan sektor terbesar yang menggaji pekerja asing dengan jumlah 76,726 orang, diikuti sektor pertanian sebanyak 26,736 orang.
Pekerja asing turut dilaporkan bekerja dalam sektor Perkhidmatan (7,783), Pembuatan (6,870), Pembantu Rumah (6,844), Pembinaan (5,345), serta Perlombongan dan Kuari (87).
Jonathan memperoleh data ini melalui jawapan kepada soalan di Dewan Rakyat.
Beliau meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan jumlah semasa pekerja asing di Sabah serta langkah proaktif yang telah diambil kementerian bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan di Sabah.
Menurutnya, masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan di Sabah merupakan isu kritikal yang melibatkan aspek keselamatan, ekonomi dan hak asasi manusia.
Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri telah melaksanakan beberapa langkah strategik bagi menangani isu ini melalui empat inisiatif utama.
Di bawah Program Pengesahan dan Penentukuran Semula Bersasar, katanya, Kerajaan Sabah sedang melaksanakan program khusus terhadap pekerja asing tanpa dokumen sah dalam sektor perladangan.
“Melalui program ini, majikan dalam sektor perladangan dan pertanian diwajibkan mendaftar pekerja asing mereka bagi mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah. Ini bagi memastikan pekerja asing mempunyai identiti yang jelas dan dilindungi oleh undang-undang.
“Langkah strategik ini bukan sahaja memperkukuh aspek keselamatan dan pemantauan, malah membantu memastikan kelangsungan operasi ladang daripada gangguan tindakan penguatkuasaan, sekali gus menyokong kestabilan ekonomi industri agrokomoditi negeri,” katanya.
Kerajaan juga melaksanakan Transformasi Undang-Undang Buruh (Ordinan Buruh Sabah). Pindaan kepada Ordinan Buruh Sabah yang berkuat kuasa pada 1 Mei 2025 merupakan langkah transformasi untuk menyelaraskan hak dan kebajikan pekerja di Sabah dengan Akta Kerja 1955 di Semenanjung Malaysia.
Transformasi undang-undang ini, katanya, memberi tumpuan kepada peningkatan standard kualiti pekerjaan dengan menetapkan gaji minimum yang lebih kompetitif, mengurangkan waktu bekerja serta memperketat perlindungan sosial bagi menjamin keselamatan pekerja.
“Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan menegakkan hak pekerja, malah berfungsi sebagai strategi dua serampang bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dengan menarik minat penduduk tempatan menceburi sektor perladangan melalui penjenamaan semula imej pekerjaan 3D (Sukar, Berbahaya, Kotor) kepada persekitaran kerja yang lebih kondusif dan adil,” katanya.
Selain itu, katanya, program pemerkasaan TVET dan mekanisasi turut dilaksanakan. Kerajaan secara aktif memacu agenda pemerkasaan TVET dan mekanisasi bagi mengurangkan keperluan tenaga kerja manual serta meningkatkan kecekapan operasi ladang melalui integrasi teknologi moden.
“Inisiatif ini dilaksanakan dengan memperluaskan program TVET melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi dengan melatih belia tempatan dalam teknologi ladang, seperti penggunaan dron untuk pembajaan dan sistem penuaian mekanikal.
“Bagi menyokong transformasi ini, kerajaan turut memperkenalkan insentif gaji yang lebih kompetitif, menyasarkan RM2,500 dan ke atas bagi graduan TVET tempatan yang mengisi jawatan penyeliaan dan teknikal, sekali gus mewujudkan ekosistem pekerjaan yang lebih profesional dan menarik berbanding skim gaji pekerja asing,” katanya.
Jonathan menambah inisiatif lain termasuk pengiklanan kekosongan jawatan di Portal MYFutureJobs, di mana majikan kini diwajibkan mengiklankan kekosongan jawatan di portal tersebut sekurang-kurangnya tujuh hingga 14 hari sebelum dibenarkan memohon pekerja asing.
Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan rakyat tempatan diberi keutamaan bagi setiap kekosongan jawatan yang ada.