Kota Kinabalu: Ahli-ahli Parlimen dan Senator Sabah bersedia menyokong tindakan undang-undang sekiranya rundingan berhubung hak hasil perlembagaan 40 peratus negeri itu gagal mencapai penyelesaian menjelang tarikh akhir 15 April yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang memulakan mesyuarat terbabit berkata semua Ahli Parlimen bersatu dalam pendirian bahawa sekiranya tiada persetujuan dicapai menjelang tempoh 180 hari, mereka akan menyokong sebarang tindakan mahkamah yang difikirkan perlu oleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) bagi memastikan pelaksanaan hak perlembagaan Sabah.
Beliau berkata langkah itu mencerminkan keseriusan isu berkenaan serta tekad bersama dalam kalangan penggubal undang-undang Sabah untuk melindungi hak negeri terbabit.
“Kami amat bimbang dengan perbincangan yang perlahan dan kesal kerana meskipun keputusan mahkamah itu amat signifikan proses libat urus setakat ini adalah terhad.
“Adalah juga dikesali bahawa ketidaksepakatan tentang sama ada sesuatu hasil Persekutuan yang dipungut itu termasuk atau tidak dijadikan alasan atas ketiadaan data.
“Pada peringkat ini, kami memberi ruang untuk rundingan dimuktamadkan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.
Mesyuarat itu turut mengulangi tuntutan Kerajaan Sabah agar Kerajaan Persekutuan menarik balik rayuannya.
Mesyuarat itu dimaklumkan bahawa Memorandum Rayuan yang difailkan oleh Peguam Negara Persekutuan merangkumi keseluruhan penghakiman mahkamah kecuali kewujudan hak perlembagaan 40 peratus seperti diperuntukkan di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.
Madius berkata beliau sudah memulakan sesi townhall dan taklimat khas untuk Ahli Parlimen dan Senator Sabah mengenai hak 40 peratus hasil bersih yang telah lama tertangguh, yang diadakan di Parlimen pada Selasa.
Sesi selama dua jam itu mendapat kehadiran yang baik dan turut menghimpunkan pasukan guaman SLS dalam taklimat yang diadakan di sebuah bilik mesyuarat di Parlimen.
Semua pihak hadir. Mereka termasuk:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud, Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) merangkap Ahli Parlimen Lahad Datu Dato’ Sri Mohammad Yusof bin Apdal;
Senator Tan Sri Anifah Aman, Ahli Parlimen Keningau Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Senator Datuk Nelson Anggang, Ahli Parlimen Kudat Dato Verdon, Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yassin, Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah, Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong, Ahli Parlimen Tenom Ridwan Robin, Senator Edward Linggu; dan bekas Presiden SLS Datuk Roger Chin serta pasukan guaman SLS yang diketuai Presiden Datuk Mohamed Nazim Maduarin dan Pasukan Guaman SLS yang diketuai Jeyan Marimuthu. Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee beredar awal untuk menghadiri mesyuarat lain.
Madius menggesa kedua-dua pihak supaya mempercepatkan perbincangan dengan mengadakan lebih banyak mesyuarat dalam tempoh baki 44 hari bagi menyelesaikan perbezaan utama yang masih tertunggak dan mempercepatkan proses rundingan.
“Ahli Parlimen Sabah telah menyuarakan kebimbangan terhadap kemajuan rundingan yang perlahan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober tahun lalu berhubung hak hasil perlembagaan 40 peratus negeri.
“Kami kecewa kerana 136 hari selepas keputusan itu — lebih empat bulan — hanya tiga mesyuarat rasmi di peringkat pegawai telah diadakan,” katanya.
Madius menegaskan bahawa masa semakin suntuk, dengan tempoh 180 hari selepas keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober tahun lalu semakin hampir ke penghujungnya.
“Dengan hanya 44 hari berbaki sebelum tempoh 180 hari berakhir pada 15 April, masa semakin suntuk untuk mencapai penyelesaian,” katanya.
Beliau berkata Ahli-ahli Parlimen turut menggesa Kerajaan Sabah supaya mewujudkan sistem penjejakan (tracking) kutipan hasil Persekutuan sebagai mekanisme untuk mengenal pasti, mengukur, menganalisis dan menyimpan data tahunan bermula dari 1974.
“Sistem sedemikian akan memperkukuh kedudukan negeri dalam memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam perkara hasil yang berkait dengan hak perlembagaannya,” katanya.