Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, menolak dakwaan bahawa Sabah dan Sarawak menggunakan Blok Borneo yang dicadangkan bagi mengukuhkan kuasa politik di peringkat Persekutuan, sambil menyatakan tuduhan berkemnaan mengabaikan fakta sejarah dan peruntukan Perlembagaan.
Mengulas kenyataan bekas Menteri Undang-Undang Datuk Zaid Ibrahim, Tangau berkata tuntutan Sabah dan Sarawak adalah berasaskan sepenuhnya kepada Perlembagaan Persekutuan serta dokumen-dokumen yang membawa kepada pembentukan Malaysia.
“Ini bukan soal menuntut lebih daripada apa yang menjadi hak kita. Ini soal melaksanakan apa yang telah dipersetujui pada 1963 tetapi dengan mudah telah diabaikan oleh kerajaan pusat selama ini,” katanya.
Zaid pada Isnin mencadangkan bahawa Sabah dan Sarawak sudah mempunyai pengaruh politik yang kukuh dalam Malaysia dan kini cuba mempertingkatkannya lagi melalui Blok Borneo yang dicadangkan.
Beliau mengatakan kedua-dua negeri itu memperoleh perlindungan dan kelebihan signifikan ketika Malaysia dibentuk dan terus menikmati hak-hak istimewa serta rundingan berterusan.
“Apa jua perlindungan yang kita peroleh pada 1963 diberikan semata-mata sebagai prasyarat untuk Sabah dan Sarawak bersetuju membentuk Malaysia,” kata Madius yang juga Presiden Kehormat Upko.
“Zaid pasti ingat 20 Perkara bagi Sabah dan 18 Perkara bagi Sarawak sebagai syarat kami untuk membentuk Malaysia.
“Mereka memujuk kami untuk bersetuju membentuk sebuah negara baharu bernama Malaysia dan kami bersetuju dengan berat hati. Ingat, satu pertiga rakyat Sabah tidak bersetuju dengan pembentukan Malaysia,” tambahnya. Satu pertiga lagi tidak pasti manakala hanya satu pertiga yang bersetuju.
Beliau menegaskan bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Perlembagaan Persekutuan membentuk asas perundangan Malaysia.
Beliau merujuk kepada Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan, dengan menyatakan prinsip perkongsian sama rata termaktub dalam takrif Persekutuan dalam Perlembagaan.
Katanya, walaupun perkataan itu diubah pada 1976, Parlimen meminda semula peruntukan terbabit pada 2021 bagi mengembalikan formulasi asal yang mengiktiraf kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan.
“Pindaan itu diluluskan oleh Parlimen. Ia menegaskan semula bahawa Sabah dan Sarawak bukan sekadar satu daripada banyak negeri tetapi rakan kongsi penting dalam pembentukan Malaysia,” katanya.
Madius turut merujuk Perkara 161E, yang menyediakan perlindungan perlembagaan dengan mensyaratkan persetujuan Sabah dan Sarawak bagi sebarang pindaan yang menjejaskan hak-hak istimewa mereka.
“Perlindungan ini termaktub dalam Perlembagaan. Ia bukan konsesi politik atau alat taktikal. Ia sebahagian daripada struktur Persekutuan,” katanya, dan percaya yang Zaid maklum mengenai fakta terbabit.