Kota Kinabalu: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di kawasan hutan simpan Sabah, khususnya di kawasan sempadan, bagi melindungi warisan semula jadi negeri daripada kegiatan pemburuan haram dan pencerobohan.
Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata operasi tersebut dilaksanakan menerusi kerjasama pelbagai agensi keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Jabatan Hidupan Liar Sabah.
Menurut beliau, usaha pemuliharaan turut diperkukuh melalui peningkatan keluasan kawasan hutan simpan kekal dalam inisiatif Heart of Borneo (HoB), dengan Sabah merupakan antara pemegang kepentingan terbesar yang memiliki hampir empat juta hektar kawasan hutan simpan.
“Sabah juga mencatat jumlah pelantikan Renjer Komuniti tertinggi di negara ini dengan 225 pelantikan dibuat sepanjang 2026, selain tambahan 15 lagi pelantikan melalui peruntukan tambahan yang akan saya luluskan,” katanya.
Arthur berkata demikian ketika mengulas kunjungan hormat beliau kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, baru-baru ini yang bertujuan memperkenalkan barisan pengurusan tertinggi NRES serta memberi taklimat mengenai inisiatif utama dan program kementerian di negeri ini.
Beliau berkata antara perkara yang dibentangkan termasuk perkembangan pembinaan Kompleks Mini NRES yang bakal menyediakan ruang pejabat tetap kepada beberapa jabatan utama di bawah kementerian berkenaan.
Selain itu, beliau turut menekankan penyampaian surat pelantikan kepada Renjer Komuniti yang akan membantu usaha perlindungan dan pengurusan kawasan hutan simpan di seluruh Sabah.