SANDAKAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang penjawat awam di sini, yang disyaki menyalahgunakan kuasa dengan mengesyorkan dua ahli keluarganya yang tidak layak sebagai penerima Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 9.50 pagi Isnin ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sandakan.
Siasatan awal mendapati suspek itu disyaki melakukan perbuatan tersebut pada 2022 dan mendapati rumah yang dibina atas nama bapa mentua dan adik iparnya telah siap pada 2023.
Namun, sehingga 2025 kedua-dua rumah itu masih belum didiami dan ini menimbulkan keraguan terhadap kelayakan sebenar penerima dan berpotensi menjejaskan objektif program bantuan tersebut.
Pengarah SPRM Sabah Mohd Fuad Bee Basrah mengesahkan penahanan tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan suspek akan dituduh di Mahkamah Seksyen Sandakan.