Kota Kinabalu: Sukan Elektronik (e-sukan) bukan lagi satu acara yang asing dalam temasya sukan utama dunia. Malah, menurut Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), edisi sulung Sukan Olimpik Esports akan berlangsung di Riyadh pada 2027.
Di Malaysia, sukan ini telah disenaraikan secara rasminya sebagai salah satu acara dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) pada tahun 2022 dan pada Temasya Sukan Sabah (Saga) ke-10 pada tahun 2023 yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah.
Suatu ketika dulu pernah dianggap sebagai permainan video semata-mata, sukan ini kini bukan sahaja mampu membantu menjana pendapatan individu dan ekonomi negara, tetapi juga menjadi platform membawa nama Sabah, malah Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Bermula Suka-Suka, Kini Bawa Harapan Rakyat Malaysia
Muncul sebagai Juara Dunia Kejohanan Dunia E-Sport International Esports Federation (IESF) acara Mobile Legend Bang Bang (MLBB) dua tahun berturut-turut, Ealtond Rayner, 22, atau lebih dikenali dengan nama Lolealz berkata, bermula dengan bermain suka-suka bersama kawan-kawan, permainan itu kini menjadi platform untuk dia membawa nama Sabah dan Malaysia ke peringkat antarabangsa.
“Menyarung jersi Sabah dan Malaysia memberikan satu perasaan tanggungjawab yang sangat besar. Apabila berada di arena perlawanan, saya sedar saya bukan lagi bermain untuk diri sendiri, tetapi membawa harapan ribuan penyokong di belakang saya.
“Ada satu kali, lagu kebangsaan dimain selepas team saya dinobat juara dunia di Kejuaraan Esports Dunia IESF, rasa bangga tu memang luar biasa. Bendera kita paling atas, tidak sia-sia saya dan kawan-kawan berjuang habis-habisan sebagai anak jati Malaysia yang mahu berbakti kepada negara,” ujar anak jati Sabah yang berasal Penampang itu.
Meski ramai yang menganggap e-sukan hanyalah permainan santai, namun secara profesional, ia menuntut jadual latihan yang ketat, pengurusan masa yang bijak, dan penjagaan kesihatan mental yang tinggi.
“Saya banyak belajar tentang tanggungjawab terhadap pasukan, kalau saya gagal, seluruh pasukan akan terkesan. Dari segi jati diri nasional, saya sedar bahawa sebagai atlet, saya adalah “duta” kecil negara.
“Segala tingkah laku dan etika saya di pentas antarabangsa mencerminkan imej Malaysia. Sebab itu, saya selalu ingatkan diri untuk jaga disiplin integriti, kekalkan semangat kesukanan yang tinggi, dan pamerkan nilai-nilai murni budaya kita kepada dunia,” tambahnya yang juga mewakili Malaysia pada temasya Sukan SEA 2025 di Thailand dan berjaya merangkul pingat Perak.
Seorang lagi pemain e-sukan dari Sabah, Muhammad Irwandy Lim atau Izanami turut meluahkan rasa bangga dan teruja apabila dapat mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Bila nama ‘Malaysia’ atau ‘Sabah’ terpampang di skrin stadium antarabangsa, saya dapat rasa satu ikatan yang sangat kuat dengan tanah air.
“Ia memupuk rasa cinta kepada negara kerana saya sedar bahawa setiap pergerakan saya di dalam permainan bukan lagi demi kepuasan sahaja, tetapi demi maruah rakyat Malaysia,” tambahnya yang merupakan pemenang pingat perak Sukan SEA 2023 di Kemboja.
E-sukan ‘Bahasa Universal’ Generasi Muda
Bagi Ealtond, dalam sebuah pasukan, latar belakang etnik, agama atau status sosial tidak lagi menjadi sempadan kerana mempunyai satu matlamat yang sama iaitu kemenangan pasukan demi mengharumkan nama negara yang tercinta.
“Kami belajar untuk saling percaya antara satu sama lain, berkomunikasi dengan berkesan dan tidak memandang perbezaan demi strategi permainan.
“Semangat kerjasama ini melatih kami untuk bersatu padu bukan sahaja di dalam permainan, malah dalam hidup sehari-hari.
“Apabila komuniti peminat menyokong pasukan yang sama, semangat perpaduan kami rasa dekat di hati dan menyatukan kita sebagai satu bangsa yang harmoni,” ujarnya yang mula berkecimpung dalam dunia e-sukan sejak berusia 15 tahun lagi.
Persues Bantu Angkat Potensi Belia
Tidak berjuang bersendirian, Ealtond dan Irwandy juga bernaung di bawah satu payung yang membuka peluang kepada mereka untuk melangkah lebih jauh dalam arena ini, iaitu Persatuan E-Sport Sabah atau juga dikenali sebagai Persues.
Presidennya, Chucky Cheoh berkata, e-sukan adalah batu loncatan untuk pembangunan modal insan yang lebih luas. Bagi memastikan ia bukan sekadar hiburan kosong, persatuan amat mengutamakan latihan IT dan keusahawanan dalam kalangan komuniti e-sukan khususnya di Sabah.
“Objektif utama kami adalah untuk mengangkat potensi generasi belia Sabah ke tahap yang paling tinggi. Dalam era digital ini, kami menekankan kefasihan dalam IT dan kecerdasan buatan (AI) sebagai kemahiran asas.
“Gabungan minat terhadap e-sukan dan penguasaan teknologi moden, kita mampu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja kompetitif tetapi juga berdaya saing dalam ekonomi global, sekali gus memperkasakan identiti nasional kita sebagai negara yang maju dan progresif.
“Tugas persatuan bukan sekadar menguruskan pertandingan, tetapi membentuk karakter atlet. Kami sentiasa mengingatkan atlet-atlet kami agar patuh kepada peraturan dan garis panduan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memberi penekanan tinggi terhadap aspek disiplin dan kesedaran anti-buli bagi memastikan ekosistem yang sihat.
Ditanya bagaimana sukan e-sukan mampu menjadi medium menyemai semangat nasionalisme dan rasa cinta kepada negara dalam kalangan anak muda, beliau berpendapat sama seperti sukan konvensional yang lain, e-sukan mempunyai kuasa luar biasa untuk menyatukan rakyat.
“Apabila terdapat pasukan yang membawa nama Sabah atau Malaysia ke pentas tertinggi, kita dapat melihat penyokong akan bersatu hati tanpa mengira latar belakang demi menyokong atlet negara kita.
“Selain itu, motivasi utama bagi kebanyakan anak muda untuk menceburi bidang ini bukan sekadar mengejar kemenangan, tetapi untuk menjadi wakil daerah, negeri atau negara kesayangan mereka.
“Perasaan menyarung jersi dengan lambang bendera di dada adalah pemangkin utama semangat patriotisme mereka,” katanya yang turut pernah menjadi ketua jurulatih kebangsaan pada tahun 2025.
Selari Dengan Agenda Digital Sabah
Kemajuan teknologi yang pesat telah mengubah landskap sukan apabila e-sukan muncul sebagai sukan moden seiring dengan perkembangan teknologi yang pesat yang semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda. Di Sabah, e-sukan tidak lagi dianggap sekadar hiburan, sebaliknya berperanan membentuk jati diri, disiplin serta semangat nasionalisme belia.
Menurut Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, e-sukan adalah sukan yang selari dengan peredaran zaman, menuntut penggunaan minda yang cerdas, kemahiran membuat keputusan serta komitmen tinggi. Kejayaan atlet e-sukan bukan sahaja mengangkat pencapaian individu, malah membawa nama Malaysia dan negeri Sabah ke pentas antarabangsa.
“E-sukan merupakan satu cabang sukan yang berkembang seiring peredaran zaman, selaras dengan kemajuan teknologi yang bergerak begitu pantas.
“Aktiviti sukan tidak semestinya tertumpu kepada pergerakan fizikal semata-mata atau mengeluarkan peluh, sebaliknya turut melibatkan penggunaan akal dan minda yang cerdas. Di sinilah peranan e-sukan yang mampu mendidik serta membentuk generasi rakyat Malaysia, khususnya anak-anak muda, untuk menceburi bidang ini dan membuktikan bahawa mereka juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri melalui KBSK telah menjadikan e-sukan sebagai salah satu sukan dalam penganjuran Sukan Sabah (Saga). Langkah ini diyakini mampu membentuk pemain yang lebih fokus, berdisiplin serta menyemai rasa cinta kepada negeri Sabah.
“Inilah hasrat dan tujuan kerajaan negeri Sabah, iaitu menerapkan nilai jati diri dan komitmen kepada negeri tempat kita dilahirkan dan mencari kehidupan. Pada asasnya, e-sukan tidak berbeza dengan sukan lain, namun ia lebih menekankan kemahiran minda dan keupayaan membuat keputusan yang tepat,” katanya.
Satu Semangat, Satu Malaysia
E-sukan juga berperanan sebagai platform yang menyatukan rakyat daripada pelbagai latar belakang kaum, agama dan negeri. Dalam arena persaingan digital, perbezaan tersebut diketepikan demi satu matlamat bersama, iaitu mencapai kemenangan dan mengharumkan nama pasukan serta negara. Semangat kesukanan ini secara tidak langsung mengukuhkan perpaduan nasional, selaras dengan prinsip Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.
Menteri KBSK turut menjelaskan peranan e-sukan sebagai alat diplomasi budaya dan identiti Sabah di peringkat nasional dan antarabangsa iaitu penyertaan dalam sukan ini mampu mempertemukan peserta daripada pelbagai latar belakang.
Walaupun datang dari negeri, kaum dan k yang berbeza, para pemain disatukan oleh satu semangat kebangsaan iaitu semangat satu Malaysia.
“Apabila kita bertanding dalam e-sukan, ia mempertemukan peserta daripada pelbagai latar belakang. Walaupun kita datang dari negeri dan kaum berbeza, kita bersaing dengan satu semangat, iaitu semangat Malaysia yang kita cintai.
Beliau menambah, pertandingan e-sukan di peringkat nasional dan antarabangsa juga menjadi medium diplomasi budaya yang efektif. Atlet Sabah bukan sahaja mempamerkan kemahiran permainan, malah membawa identiti, nilai dan budaya tempatan ke peringkat global.
“Kita bukan hanya bergiat sebagai pemain, tetapi turut terlibat dalam industri e-sukan melalui keusahawanan, penyediaan ruang permainan dan penganjuran acara. Ini semua memberi peluang kepada belia untuk berkembang secara menyeluruh,” jelasnya.
Patriotisme Di Sebalik Skrin
Dalam dunia tanpa sempadan yang dipacu teknologi, e-sukan menjadi medan baharu perjuangan anak muda Sabah. Di sebalik papan kekunci dan skrin digital, tersemat semangat mempertahankan maruah negeri dan negara dan semangat yang tidak lagi terhad di stadium atau gelanggang yang merentasi pentas global oleh kalangan belia kini.
Lebih daripada sekadar mengejar kemenangan, e-sukan membentuk disiplin, kepimpinan dan jati diri generasi digital yang berfikiran global namun berakar kukuh pada identiti kebangsaan.
Setiap kali jersi Sabah dan Malaysia disarung, setiap kali lagu kebangsaan berkumandang di arena antarabangsa, di situlah lahirnya nasionalisme baharu yang segar dan relevan dengan zaman.
Dengan sokongan berterusan kerajaan, kerjasama industri, sokongan ibu bapa serta disiplin atlet itu sendiri, e-sukan mampu melonjakkan nama Sabah ke persada antarabangsa.
Apabila anak-anak muda bertanding dengan semangat kental, keyakinan tinggi dan jati diri yang utuh, mereka bukan sahaja mencipta kejayaan peribadi, malah menyumbang kepada kebanggaan negara.
Di Sabah, e-sukan bukan lagi sekadar permainan ia adalah simbol transformasi, peluang ekonomi dan bukti bahawa anak muda negeri ini mampu berdiri setara di pentas dunia.
Dan di balik cahaya skrin itu, wira-wira digital anak- anak muda sedang membina masa depan negeri dengan semangat patriotisme yang tidak pernah pudar.