Kota Kinabalu: Sama ada disedari atau tidak, Perdana Menteri ketika itu Tunku Abdul Rahman merupakan individu pertama yang menjejaskan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) apabila melanggar janji untuk menghormati autonomi Sabah dan Sarawak, menurut wartawan pertama Sabah Datuk Mohd Fauzi Patel.
Patel berkata Tunku berbuat demikian dengan menghantar pegawai Persekutuan untuk mengambil alih sebahagian kuasa Sabah dan Sarawak, yang dianggap sebagai menjejaskan kewibawaan Ketua Menteri pertama Sabah Donald (kemudian Tun Fuad) Stephens dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Stephen Kalong Ningkan.
Katanya, keadaan itu menyukarkan kedua-dua pemimpin berfungsi dengan berkesan, sekali gus membawa kepada kejatuhan mereka dalam tempoh tiga tahun.
Pendedahan itu dibuat Patel dalam siri wawancara eksklusif bersama Ketua Editor Daily Express Datuk James Sarda dan Profesor Sejarah Universiti Malaya Datuk Dr Danny Wong yang dimuatkan dalam sebuah buku yang akan dilancarkan pada 14 Feb. Patel meninggal dunia pada 2012 dan memoir tersebut hanya diterbitkan sekarang.
Advertisement





