Kota Kinabalu: Persatuan Perunding Malaysia Rumah Keduaku Sabah (PPMRKS – Sabah-MM2H) mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Jafry Arifin bagi menyampaikan ucapan tahniah atas pelantikan beliau sebagai menteri.
Kunjungan yang diketuai Presiden Pengasas Jenny Ngu bersama ahli jawatankuasa itu juga bertujuan menzahirkan sokongan persatuan terhadap usaha kementerian dalam memperkukuh sektor pelancongan dan industri berkaitan di Sabah.
Sabah-MM2H merupakan satu program penting di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang bertujuan mempromosikan Sabah sebagai destinasi pilihan untuk kediaman jangka panjang bagi peserta antarabangsa.
Program ini memainkan peranan strategik dalam menarik penduduk asing, menggalakkan tempoh tinggal yang lebih lama serta merangsang aktiviti ekonomi tempatan merangkumi sektor pelancongan, hartanah, perkhidmatan dan industri berkaitan.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak membincangkan beberapa potensi kerjasama bagi mempertingkat dan menambah baik pelaksanaan program Sabah-MM2H.
Perbincangan tertumpu kepada pengukuhan dasar, penambahbaikan kecekapan pelaksanaan serta peluasan jangkauan antarabangsa bagi menarik lebih ramai peserta berkualiti ke Sabah.
Persatuan itu turut menekankan manfaat lebih luas program berkenaan, termasuk peningkatan pelaburan asing, perbelanjaan berkaitan pelancongan yang lebih tinggi, pewujudan peluang pekerjaan serta peningkatan keterlihatan Sabah di peringkat antarabangsa sebagai destinasi selamat, menarik dan dinamik untuk kediaman jangka panjang serta persaraan.
PPMRKS (Sabah-MM2H) juga mengambil kesempatan menjemput Jafry untuk memeriahkan Majlis Makan Malam Gala Pra-Tahun Baharu Cina persatuan itu yang diadakan sempena majlis pelantikan pertamanya sebagai Tetamu Kehormat. Majlis terbabit dijadualkan berlangsung pada 15 Feb, dari jam 6 petang hingga 9 malam di Hotel Marriott, di sini.
PPMRKS (Sabah-MM2H) menzahirkan harapan untuk bekerjasama rapat dengan kementerian serta pihak berkepentingan berkaitan bagi terus membangunkan program Sabah-MM2H selaras dengan objektif pembangunan pelancongan dan ekonomi Sabah, khususnya dalam menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.