TELUPID: Kerajaan Sabah memulakan kerja pembinaan sebuah jambatan baharu merentasi Sungai Labuk di kawasan Kampung Gambaron yang bakal menjadi ikon setempat selain meningkatkan kemudahan perhubungan penduduk.
Menteri Kerja Raya dan Utiliti Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata projek sepanjang kira-kira 254 meter itu melibatkan kos lebih RM29 juta dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
“Jambatan berkenaan akan dibina menggunakan teknologi pembinaan moden apabila struktur utama disiapkan di kilang sebelum dipasang di lokasi projek sekali gus mempercepatkan proses pembinaan.
“Kita merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telupid Datuk Jonnybone J Kurum atas usaha membawa projek infrastruktur berskala besar ini.
“Saya yakin ia akan memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi dan sosial setempat selain langkah strategik bagi meningkatkan akses penduduk sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Jambatan Sungai Labuk pada Selasa.
Projek berkenaan mula dibina 5 Februari 2026 dan dijangka siap pada 4 Februari 2028.
Jambatan berkenaan sangat diperlukan penduduk Kampung Ansuan dan Kampung Baba yang sering berdepan kesukaran akses keluar dan masuk ke kampung mereka sejak sekian lama.